- Iklan -
Berita

35% jemaah haji ikut agensi pilih Pakej Rahmah

Ini kerana harga yang ditawarkan menerusi pakej ini adalah di bawah RM50,000.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam menunggu untuk menunaikan solat di hadapan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.
Umat Islam menunggu untuk menunaikan solat di hadapan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.

Sebanyak 35% daripada kira-kira 8,500 jemaah haji yang mengikuti pakej oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) memilih Pakej Rahmah Haji yang menawarkan harga di bawah RM50,000.

Pengarah Operasi PJH Mohd Zawawi Bostam berkata jurang harga yang tidak ketara antara Pakej Rahmah Haji dan bayaran haji jemaah muassasah menjadi antara faktor mereka memilih pakej berkenaan.

Beliau berkata ini juga membawa kepada pertambahan jumlah jemaah haji PJH pada musim haji kali ini, iaitu meningkat 20% berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Ini menunjukkan Pakej Rahmah Haji memberi impak dari segi jumlah yang memilih pakej haji," katanya kepada pemberita di Mekah.  

Menurutnya jemaah haji yang memilih pakej itu ditawarkan kemudahan seperti hotel bertaraf tiga bintang ke atas dan jarak penginapan lebih dekat dengan masjid.

Selain itu, beliau berkata kira-kira 2% jemaah haji PJH memilih pakej berharga RM100,000 hingga RM250,000.

Katanya bagi tahun ini, 22 syarikat pelancongan diberikan lesen oleh TH untuk beroperasi sebagai PJH yang keseluruhannya menawarkan 250 pakej haji.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata Pejabat Operasi PJH akan melakukan pemantauan ke atas kesemua syarikat pelancongan terbabit bagi memastikan mereka menyediakan kemudahan seperti yang dijanjikan kepada jemaah haji.

"Sekiranya syarikat PJH ini tidak mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan, syarikat ini boleh diberikan amaran lisan, denda kewangan, digantung atau ditamatkan lesen," katanya.

Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.