- Iklan -
Berita

Bersatu selar layanan 'double standards' benar Zahid lawat Najib di penjara

Sasha Lyna Abdul Latif berkata layanan seperti itu perlu diperluaskan kepada semua banduan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penjara Kajang, tempat bekas perdana menteri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun selepas didapati bersalah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.
Penjara Kajang, tempat bekas perdana menteri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun selepas didapati bersalah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Seorang pemimpin Bersatu hari ini menyelar "kebenaran khas" yang diberikan kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk melawat Najib Razak di penjara, menyifatkannya sebagai contoh yang jelas dan terang-terangan tentang layanan berat sebelah dan “double standards” di pihak Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata banduan lain terpaksa bergelut untuk mendapatkan akses perubatan asas dan kebenaran bagi menghadiri pengebumian ahli keluarga terdekat. 

"Jika ini layanan yang diberikan kepada seorang atau dua orang istimewa, ia perlu diperluaskan kepada semua banduan," katanya.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, berkata beliau meluangkan masa hampir dua jam bersama Najib, dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Zahid berkata beliau juga membawa bersama beberapa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama bekas perdana menteri itu. 

"Kami dapat makan bersama. Selepas bertemu selama setengah jam, hanya kami berdua selama satu setengah jam," katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung Umno 2023 hujung minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata Zahid dibenarkan melawat dan makan bersama Najib dengan kebenaran khas daripada pihak penjara. 

Sasha berkata, banduan biasanya dibenarkan dilawat ahli keluarga terdekat sahaja, sebulan sekali, serta lawatan oleh peguam mereka.

"Tiada mana-mana pelawat lain dibenarkan. Ahli keluarga yang melakukan lawatan penjara akan tahu dan mengalami bahawa, akan ada penghalang kaca antara mereka dan ahli keluarga mereka yang dipenjarakan, dan apa-apa makanan yang dibawa oleh ahli keluarga akan diperiksa dengan teliti dan hanya diberikan selepas sesi. 

"Tidak ada perkara seperti makan bersama." 

Sasha dalam satu kenyataan berkata lawatan Zahid melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai hak sama rata. 

"Adalah menjadi amalan umum bahawa semua banduan lain selain Najib tidak dibenarkan bertemu mana-mana rakan mereka dari mula menjalani tempoh hukuman penjara sehingga mereka dibebaskan, atau sekiranya mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup, sepanjang hidup.

“Jika ini pendirian yang diambil oleh Jabatan Penjara, dan ia mempunyai kapasiti untuk memberikan ‘kebenaran khas’ kepada individu tertentu, maka adalah adil bagi banduan lain untuk dapat menikmati kebenaran khas ini. 

“Banduan lain juga perlu dibenarkan mempunyai pelawat selain ahli keluarga terdekat mereka, dan penggunaan kaca penghadang perlu dihentikan. 

"Banduan juga harus diberi peluang untuk makan bersama pelawat mereka, sama seperti Najib dan Zahid boleh berkongsi makan bersama di kawasan penjara."