- Iklan -
Berita

Hampir satu pertiga pembantu rumah di Malaysia berkhidmat secara buruh paksa, kata agensi PBB

Tinjauan terhadap 1,201 pembantu rumah di Asia Tenggara, mendapati 29% daripada mereka di Malaysia berdepan keadaan sedemikian, berbanding 7% dan 4% masing-masing di negara jiran Singapura dan Thailand.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita membaca iklan 'pembantu rumah' di luar sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Seorang wanita membaca iklan 'pembantu rumah' di luar sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Hampir satu pertiga pekerja asing yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berkhidmat secara buruh paksa, demikian menurut tinjauan yang dikeluarkan oleh agensi buruh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini. 

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenal pasti keadaan seperti tempoh kerja lebih waktu, kerja lebih masa tidak dibayar, gaji rendah, pergerakan terhad, dan tidak boleh berhenti antara penunjuk buruh paksa. 

Tinjauan terhadap 1,201 pembantu rumah di Asia Tenggara, mendapati 29% daripada mereka di Malaysia berdepan keadaan sedemikian, berbanding 7% dan 4% masing-masing di negara jiran Singapura dan Thailand. 

Malaysia dan Singapura bagaimanapun tidak mengulas mengenai hasil tinjauan tersebut.

Jurucakap Kementerian Buruh Thailand, Wannarat Srisuksai memberitahu Reuters layanan terhadapa pembantu rumah di negara itu bertambah baik berikutan undang-undang yang diperkenalkan pada 2012 untuk melindungi kumpulan itu. 

Menurut ILO, tinjauan mendapati waktu bekerja pembantu rumah di ketiga-tiga negara secara purata “melebihi masa” yang diperuntukkan kepada pekerja lain malah ada yang tidak memperoleh gaji minimum. 

"Pembantu rumah adalah salah satu tugas paling penting dalam masyarakat kita, namun diberikan perlindungan paling sedikit. Ini tidak boleh diterima lagi," kata Ketua Penasihat Teknikal ILO, Anna Engblom yang menjalankan kajian itu. 

ILO menggesa Malaysia, Singapura, dan Thailand untuk meratifikasi konvensyen PBB mengenai pembantu rumah dan buruh paksa, untuk mengiktiraf sifat mahir kerja domestik, dan memastikan laluan migrasi yang tidak mengikat pekerja dengan majikan mereka.

Isi rumah di Asia sering mengambil pembantu rumah – biasanya wanita dari negara membangun seperti Indonesia, Myanmar, dan Filipina – untuk menjalankan tugas mengemas termasuk memasak, membersihkan rumah, menjaga anak dan berkebun. 

Malaysia berdepan kritikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan beberapa insiden pembantu rumah Indonesia didera, manakala beberapa syarikatnya telah dituduh mengeksploitasi buruh asing. 

Menurut ILO, rakyat Indonesia membentuk kira-kira 80% daripada pembantu rumah di Malaysia.

Tahun lepas, Malaysia dan Indonesia menandatangani perjanjian untuk meningkatkan perlindungan bagi pembantu rumah warga asing.