- Iklan -
Berita

Mekanisme laksana subsidi petrol bersasar sangat rumit, kata PM

Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan kertas kerja dan cadangan untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tepat pada masanya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan berkata pelaksanaan subsidi bersasar bertujuan untuk memastikan hanya individu yang benar-benar layak menerimanya.
Kerajaan berkata pelaksanaan subsidi bersasar bertujuan untuk memastikan hanya individu yang benar-benar layak menerimanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan seboleh-bolehnya mahu mekanisme subsidi bersasar dilaksanakan sesegera yang mungkin.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedar penetapan mekanisme berkenaan, termasuk bagi diesel dan RON95 tidak mudah dan agak kompleks.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa kertas kerja dan cadangan berhubung mekanisme berkenaan, bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan segera. 

“Kami sedang berusaha ke arah itu, sebenarnya ada satu pasukan sedang mengusahakannya sekarang ini, dan terdapat beberapa cadangan tetapi kami tidak beberapa yakin dari segi keberkesanan pelaksanaannya.

“tidak seperti bekalan elektrik kita tahu rumah itu, kilang,… tetapi diesel suatu yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi Temu Mesra di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan hanya golongan yang selayaknya, dapat menikmati kemudahan tersebut.

Sebelum ini Perdana Menteri berkata adalah tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi seperti kos mengerjakan haji dan elektrik, kepada golongan T20.

“Ia memandangkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin sebelum ini, turut dinikmati oleh golongan terbabit,” kata Anwar.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan pada Mei berkata penetapan mekanisme bagi pemberian subsidi bersasar, sudah 75 peratus selesai dan hasil perbincangan berhubung mekanisme itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa, akan dibentangkan di Kabinet, sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.