- Iklan -
Berita

Rundingan akhir pembahagian kerusi PH-BN hadapi PRN malam ini

Rundingan itu akan dipengerusikan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bagi pihak PH manakala BN akan diketuai Timbalan Pengerusinya Mohamad Hasan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.
Gambar fail menunjukkan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.

Rundingan akhir berkaitan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan berlangsung di Kuala Lumpur malam ini. 

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata rundingan itu akan dipengerusikan beliau sendiri bagi pihak PH manakala BN akan diketuai Timbalan Pengerusinya Mohamad Hasan.

Menurut Rafizi rundingan berkenaan akan menumpukan kepada kesepakatan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi menetapkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

"Kita (PKR) sudah ada semua calon kerusi dan memandangkan ini adalah pertama kali kita masuk PRN bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, kita akan muktamadkan kerusi itu melalui rundingan dahulu. 

Hasil rundingan malam ini akan dibawa ke peringkat pengerusi PH dan BN sebelum dimuktamadkan," katanya dalam sidang media selepas sesi Libat Urus Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 bersama Menteri Ekonomi di Melaka hari ini. 

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata selepas rundingan, tiga nama bakal calon akan disenarai pendek untuk setiap kerusi seterusnya akan dibincangkan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi berkata PKR membuka peluang kepada semua yang berminat menjadi calon pada PRN kali ini,  namun mereka perlu melalui tapisan yang ketat.

"Bagi parti lain, ia bergantung kepada kriteria masing-masing namun PKR, kita buka kepada yang berminat daripada peringkat cabang dan sayap."