- Iklan -
Berita

Serah kepada polis, gesa kumpulan hak asasi lepas kematian suspek dalam tahanan SPRM

Lawyers for Liberty berkata Azam Baki adalah 'pihak berkepentingan' dan tidak sepatutnya cuba menjelaskan punca kematian suspek.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam ulasan Azam Baki terhadap berita suspek dalam tahanan agensi itu meninggal dunia, mengatakan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) "tidak perlu tergesa-gesa membuat kesimpulan atau menjelaskan punca kematian". 

Pengarah LFL Zaid Malek berkata adalah menjadi tanggungjawab polis menyiasat dan mendedahkan penemuan, atau merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara. 

“Tiada rumusan boleh dibuat pada ketika ini sama ada terdapat atau tidak kesalahan dalam kematian ini, seperti yang dilakukan oleh Azam dalam kenyataannya,” katanya. 

Azam semalam mengesahkan kematian seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes pengubahan wang haram berkaitan perlombongan haram di Pahang.

Beliau berkata suspek berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Putrajaya. 

“Dalam siasatan, pegawai kami mendapati lelaki itu tidak sihat dan terus menghantarnya ke hospital Putrajaya,” kata Azam seperti dilaporkan The Star.

Beliau juga berkata pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan kes itu akan memberi kenyataan kepada polis, dan agensi itu sudah menyerahkan rakaman CCTV untuk membantu siasatan. 

Dalam kenyataannya hari ini, Zaid berkata penjelasan Azam adalah "tidak bernilai" kerana ketua pesuruhjaya SPRM merupakan "pihak berkepentingan". 

“Ini sepatutnya jelas kepada ketua pesuruhjaya, yang sepatutnya tidak membuat komen lain kecuali mengatakan bahawa perkara itu dalam siasatan polis," tambahnya. 

"Kenyataan umum ke atas siasatan polis yang sedang berjalan seperti ini berpotensi untuk mempengaruhi atau mengganggu siasatan sedemikian."

Beliau juga menggesa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani untuk membentuk unit siasatan khas di Bukit Aman bagi menyiasat perkara itu, dengan mengingatkan kematian suspek lain dalam tahanan SPRM termasuk Teoh Beng Hock pada 2009 dan Ahmad Sarbani Mohamed pada 2011. 

“Polis mesti memandang serius perkara ini dan mengutamakan penyiasatan sebagai perkara yang mempunyai kepentingan awam yang serius,” katanya. 

"Siasatan mestilah telus, tidak berat sebelah dan tergesa-gesa. 

“Tindakan tegas di bawah undang-undang mesti diambil sekiranya mana-mana anggota SPRM didapati bersalah dalam apa jua cara membabitkan kematian suspek dalam tahanan ini."