- Iklan -
Berita

Mengapa diam, soal Bersatu kepada DAP selepas wanita disiasat kerana kritik Kit Siang

Parti pembangkang itu mengimbas kembali kenyataan pemimpin tertinggi DAP yang menggesa agar Akta Hasutan dimansuhkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama

Bersatu mengecam sikap berdiam diri pemimpin DAP yang tidak menentang siasatan terhadap seorang wanita mengikut Akta Hasutan, sambil mengingatkan tentang geasaan parti itu sebelum ini supaya memansuhkan undang-undang tersebut. 

Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu turut menyelar pemimpin kerajaan campuran diketuai Pakatan Harapan (PH) berhubung penahanan aktivisnya Norhanani Abu Hassan di Pulau Pinang baru-baru ini. 

"Sepanjang PH menjadi pembangkang, kerajaan ketika itu akan dikritik berkali-kali mengenai penggunaan Akta Hasutan terhadap pembangkang dan/atau orang ramai dan membuat banyak gesaan agar akta tersebut dimansuhkan," kata timbalan pengerusi biro berkenaan, Sasha Lyna Abdul Latif dalam satu kenyataan. 

Beliau mengimbas kembali kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo pada 2018 yang menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan. 

“Beliau juga menegaskan, ‘undang-undang itu tertakluk kepada penyalahgunaan dan digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat politik’. 

"Kenapa parti itu dan rakan gabungan diam sekarang?" soal Sasha.

Difahamkan, Norhanani yang juga ketua penerangan Srikandi Muda Bersatu Pulau Pinang, sedang mengandung tujuh bulan ketika pegawai dari Bukit Aman menahannya.

Telefon bimbit dan komputer riba milik Norhanani turut dirampas. 

Siasatan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Norhanani mengulang siar catatan di media sosial yang mengkritik penyokong kuat Lim Kit Siang. 

Sasha juga memetik kenyataan Lim pada 2015, di mana beliau mempersoalkan penggunaan Akta Hasutan ke atas pengkritik kerajaan. 

Antara lain, beliau memetik Lim yang menyuarakan tentang penggunaan "undang-undang zalim dalam mengekalkan kuasa".

“Kita jangan lupa Malaysia adalah negara demokrasi, bukan diktator,” Lim dipetik sebagai berkata.

Sasha mempersoalkan sikap berdiam diri Lim berikutan Akta Hasutan digunakan untuk membelanya. 

“Adakah keadaan sekarang sudah berubah apabila PH a.k.a Kerajaan Madani berkuasa sebagai pemerintah dan kini menggunakan Akta Hasutan terhadap pemimpin pembangkang dan ahli parti serta penyokongnya? 

"Bukankah ini menunjukkan sikap sangat hipokrit Lim Kit Siang, DAP dan PH?" soalnya.