- Iklan -
Berita

‘Kerja apa itu?' ibu bapa tak faham pilihan kerjaya lepasan SPM

Beberapa pelajar lepasan SPM mengatakan tidak tahu bagaimana untuk meyakinkan ibu bapa tentang apa yang mereka mahu lakukan dalam hidup.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar SMJK Yu Hua di Kajang menunggu untuk menerima keputusan peperiksaan SPM pada 8 Jun.
Pelajar SMJK Yu Hua di Kajang menunggu untuk menerima keputusan peperiksaan SPM pada 8 Jun.

Aliya Nadiah Dzulfitri menahan sebak ketika menemui ibunya di luar dewan sekolah pada 8 Jun lalu sambil memegang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertera 6A daripada lapan mata pelajaran yang diambil.

Kemudian, mereka sekeluarga menikmati makan tengah hari bersama di sebuah restoran bagi meraikan keputusan cemerlang sekali gus menandakan permulaan baru dalam kehidupan Aliya.

Bagaimanapun, di sebelah malam, rasa keterujaan dan gembira itu mulai pudar apabila ibunya salah anggap kepada rancangannya untuk menyambung pengajian dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti awam.

Meskipun dia bersungguh-sungguh menjelaskan haluan bidang yang dipilihnya itu mempunyai peluang yang luas untuk membina kerjaya, ibunya masih tidak memahami apa yang ingin dia lakukan untuk masa depannya.

"Ibu tak tahu langsung apa yang saya katakan tentang bidang psikologi.

"Sama ada psikologi dalam perubatan, klinikal atau moden psikologi.

"Sehingga kini, dia memberitahu saudara mara bahawa saya ingin jadi kaunselor. Bukan itu yang saya nak," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah ibunya bekerja sebagai pengasuh persendirian di rumah.

Aliya tidak keseorangan, seorang lagi lepasan SPM dari Kuantan, Che Izzudin Che Mad berkata ibu bapanya juga bersikap yang sama apabila dia berkongsi hasratnya untuk menjadi pereka.

Dia memberitahu, pilihannya itu nanti akan memfokuskan kepada kerja di sebalik tabir khususnya reka bentuk dalam talian melibatkan pelbagai produk dan jenama.

"Tetapi mereka fikir saya ingin jadi pereka baju atau pereka dalaman sedangkan mereka tahu saya tak ada bakat untuk kedua-dua kerja itu.

"Kemahiran saya pada program komputer dan perisian pereka. Seperti Canva yang semakin dikenali dalam kalangan usahawan," katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada aplikasi pereka yang digunakan untuk mencipta video, logo dan lain-lain.

Lepasan SPM tahun 2022 berusia 18 tahun pada tahun ini, manakala rata-rata ibu bapa mereka pada usia 40 tahun dan ke atas.

Mereka sudah dipisahkan oleh dua generasi iaitu generasi milenium atau generasi Y (lahir pada 1981-1996) dan generasi Z atau iGen (lahir pada 1997-2010).

Generasi kini dikenali sebagai generasi Alpha (lahir bermula pada 2011) manakala ibu bapa mereka pula dalam kategori generasi X (lahir pada 1965-1980).

Jurang generasi ini menjadikan komunikasi antara anak-anak dan ibu bapa mengenai pilihan kerjaya dan sambung pengajian selepas SPM menjadi lebih sukar. 

Situasi itu bertepatan dengan satu tinjauan yang dijalankan oleh Talking Future, sebuah yayasan pendidikan di England yang mendapati lebih dua per tiga daripada ibu bapa yang mempunyai anak berumur 11 hingga 18 tahun “hilang arah” apabila anak-anak menyatakan minat dalam kerjaya yang mereka sendiri tidak tahu. 

Tinjauan yang melibatkan 2,000 ibu bapa itu juga menemukan lebih 75% ibu bapa merasakan mereka tidak memberikan nasihat yang relevan kepada anak-anak mengenai pilihan pengajian di universiti dan peluang pekerjaan. 

Trend yang sama dilihat sedang berlaku di Malaysia. 

Seorang pengarah projek di sebuah NGO mahu dikenali sebagai Hisham berkongsi masalah yang sama. 

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai penyelidik di salah sebuah NGO yang memfokuskan isu gender dan keganasan rumah tangga selepas tamat pengajian di universiti. 

Beliau merupakan graduan undang-undang dari universiti awam.

Sejak di peringkat sekolah, beliau tidak minat dengan kerja yang terikat dengan waktu pejabat.

"Saya pun tak minat nak jadi peguam. Apabila mendapat kerja dalam bidang NGO, pada mulanya saya hanya merahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

"Sebab mereka tak faham selok-belok kerja itu dan saya juga tiada idea bagaimana saya boleh fahamkan mereka tentang kerja yang saya terima ketika itu," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sehingga kini, kata Hisham, ibunya masih belum benar-benar memahami konteks kerjayanya tetapi cukup untuk mengetahui bahawa dirinya sudah bekerja dan bergaji.

Adakah ibu bapa sedar?

Mengulas lanjut, Hisham turut membawa persoalan sama ada ibu bapa masa kini sedar tentang jurang tersebut apatah lagi perkembangan digital dan kecerdasan buatan (AI) amat pesat membangun di seluruh dunia.

Perkembangan itu katanya, memberikan perbezaan yang cepat dan meluas dalam pasaran kerja.

"Sekarang, mereka tahu atau tidak bahawa anak-anak mungkin tak lagi merujuk mereka apabila nak pilih bidang pengajian atau kerja?

"Bagaimana kalau anak-anak terus ketepikan mereka dengan andaian tak perlulah tanya, mereka bukan faham."

Atas sebab itu, dia berpandangan akses pengetahuan dan maklumat tentang perkara-perkara tersebut tidak boleh terhad dalam kawasan sekolah.

Ibu bapa dan para penjaga juga perlu didedahkan dengan apa yang sedang berlaku di dunia melalui perspektif yang lebih luas.

"Sampai bila-bila pun ibu bapa perlu tahu perkembangan hidup anak walaupun anak sudah dewasa dan membina hidup sendiri.

"Itu juga salah satu elemen kemanusiaan dan kekeluargaan," katanya. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi