Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali susulan siasatan agensi itu terhadap dakwaan rasuah dan konflik kepentingan dalam mengendalikan kes Najib Razak, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam perbahasan di Dewan Negara hari ini berkata SPRM juga tidak menemui unsur jenayah dalam siasatannya ke atas Nazlan, hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Najib pada 2020.
Pada masa sama, Anwar memberitahu perkara itu turut dipersetujui Jabatan Peguam Negara.
Katanya, SPRM bertindak membuka kertas siasatan sebaik sahaja menerima laporan terdapat asas wujudnya elemen rasuah membabitkan hakim itu.
"SPRM menyiasat dengan teliti dan mendapati tiada kesalahan jenayah dan dipersetujui Pejabat Peguam Negara," katanya bagi menjawab soalan tambahan dari Senator Kesavadas A Achyuthan Nair.
Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan Najib bagi pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Beliau kini berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan terpalit dengan dakwaan terlibat dalam konflik kepentingan semasa mendengar perbicaraan tersebut dan melanggar kod etika.
Pada 28 Julai 2020, beliau merupakan hakim yang mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.
Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta.
Dalam pada itu, Kesavadas turut bertanya sejauh mana agensi anti rasuah itu serius dalam menjalankan siasatan isu rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan para pemimpin terutamanya bekas perdana menteri.
Anwar menegaskan, SPRM perlu menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka secara bebas dan bersikap berkecuali termasuk menjalankan siasatan ke atas tokoh politik dan bekas pemimpin negara.
Katanya, orang ramai yang beranggapan siasatan dijalankan oleh SPRM adalah bersifat politik itu harus melihat perkara tersebut berasaskan kepada fakta dan bukan sentimen politik semata-mata sehingga boleh mengelirukan rakyat.
"Kalau nyata dari segi siasatan ada kes yang dianggap berprofil tinggi dan mempunyai alasan cukup kukuh untuk didakwa itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara," katanya.