Kemasukan pelajar pelarian Rohingya untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia tidak akan menggugat kedaulatan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas kegusaran segelintir pihak berhubung langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT tempatan akan mengancam kedaulatan negara, beliau berkata pendidikan ialah hak setiap manusia dan Malaysia tidak boleh bersikap pentingkan diri dalam soal itu.
“Tak ada timbul (isu kedaulatan). Kita (Malaysia) sebahagian daripada negara bertamadun yang memahami bahawa adalah juga diharapkan dari negara kita untuk bantu mereka yang menjadi pelarian.
“Kita tahu masa depan dia bergantung sama ada dia boleh dapat ilmu atau tidak, dan sebab itu kita tak boleh anggap bahawa ini sesuatu yang saya ingat dia lari daripada nilai-nilai kita sebagai seorang manusia dan insan, kita langsung tak nak bantu orang, kita hanya fikir kita sahaja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Semarak Siswa Madani di Putrajaya hari ini.
Semalam, media melaporkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sedia menawarkan tempat di universiti mereka untuk pelarian Rohingya yang pendidikannya akan dibiayai menggunakan derma AS$50 juta daripada Dana Qatar Untuk Pembangunan (QDF).
Khaled berkata pelarian Rohingya yang melanjutkan pengajian di IPT tempatan akan dibiayai menggunakan dana QDF dan mereka yang dipilih melanjutkan pelajaran sudah tentu terdiri daripada mereka yang layak dan pandai.
“Dalam konteks ini (pendidikan), Qatar menyediakan sumbangan untuk pelarian Rohingya dan kita juga ada beritahu Qatar dan badan-badan lain untuk bantu juga banyak pelarian lain seperti Palestin, Syria dan Bosnia,” katanya.
Pada 2017, Qatar menyatakan ikrar memberikan penajaan dana untuk menyokong Malaysia dalam melaksanakan projek kemanusiaan membantu pelarian Rohingya.
Sementara itu, Khaled berkata kerajaan tidak boleh memaksa syarikat-syarikat untuk memberikan layanan atau faedah yang sama rata antara pekerja dengan pelatih industri.
“Semua sedar mereka (pelajar) bukan pekerja tetapi hanya intern (pelatih), maka sudah tentu tidak wajar untuk mereka mendapat gaji atau layanan yang sama (dengan pekerja),” katanya.
Pada majlis itu, Khaled turut menyampaikan insentif RM2,000 seorang kepada 31 pelajar IPT yang menyumbangkan pingat emas dalam temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja Mei lepas.