- Iklan -
Berita

Irwan beritahu mahkamah 'kedengaran seperti' suara Najib dalam rakaman audio

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan itu berkata demikian sebagai saksi pendakwaan ke-42 dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah (tengah) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menyambung keterangannya sebagai saksi pendakwaan ke-42 dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak berhubung kes 1MDB. Gambar: Bernama
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah (tengah) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menyambung keterangannya sebagai saksi pendakwaan ke-42 dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak berhubung kes 1MDB. Gambar: Bernama

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa salah satu daripada suara di dalam empat klip audio yang dikaitkan dengan skandal 1MDB "kedengaran seperti" suara bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-42 itu berkata demikian selepas empat klip audio dimainkan di mahkamah hari ini di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah dalam perbicaraan Najib yang berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Beliau berkata dua daripada suara dalam rakaman audio itu dipercayai perbualan antara Najib dan seorang pemimpin Timur Tengah.

Dalam satu lagi klip audio, Irwan turut mengenal pasti bahawa salah satu suara dalam audio itu adalah suara bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Sementara itu semasa permeriksaan balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata beliau tidak pasti sekiranya suara di dalam rakaman audio itu adalah suara Najib, kerana beliau tidak berada di tempat itu semasa perbualan berlangsung.

Shafee: Selepas mendengar rakaman itu, bolehkah anda mengatakan bahawa ini adalah palsu?

Irwan: Saya tidak boleh kata apa-apa, kerana saya bukan pakar.

Terdahulu hari ini, hakim Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima empat rakaman audio itu sebagai bukti.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memohon supaya rakaman audio diterima untuk identifikasi dalam perbicaraan, bagi menyangkal hujah pembelaan bekas perdana menteri, bahawa wang yang masuk ke akaun bank peribadinya adalah derma.

Pihak pendakwaan juga berhujah bahawa rakaman audio perbualan yang didakwa antara Najib dan seorang pemimpin dari Timur Tengah adalah sangat relevan untuk menyangkal pembelaan tertuduh.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung 7 Julai.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.