- Iklan -
Berita

KPM nafi turunkan gred pemarkahan SPM 2022

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung analisis pemarkahan SPM yang mendapat perhatian serta menimbulkan pertikaian dalam kalangan orang ramai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
KPM menafikan sistem pemarkahan SPM 2022 diturunkan.
KPM menafikan sistem pemarkahan SPM 2022 diturunkan.

Dakwaan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) menurunkan purata gred pemarkahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 adalah tidak benar.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata setiap permarkahan yang dibuat mestilah mengikut merit dan standard yang diguna pakai sebelum ini.

“Kita ada standard kita dan kita cukup jaga standard itu… kita harus berlaku adil apabila pemarkahan ini dibuat dia mestilah mengikut merit dan standard yang sudah kita guna pakai sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, di Kuala Lumpur, semalam.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung analisis pemarkahan SPM yang mendapat perhatian serta menimbulkan pertikaian dalam kalangan orang ramai terhadap sistem pemarkahan KPM bagi SPM 2022.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada KPM akan menambah subjek wajib lulus peperiksaan SPM selain Bahasa Melayu dan Sejarah, Fadhlina berkata setakat ini dua mata pelajaran itu sahaja dikekalkan.

“Setakat ini kita kekalkan dengan pendirian untuk (wajib lulus) Bahasa Melayu dan Sejarah kerana impaknya dalam SPM baru-baru ini, keputusan mata pelajaran Sejarah meningkat dengan sangat tinggi dan sangat baik.

“Ini menunjukkan pelajar ini tiada masalah menguasai subjek Sejarah, mungkin cuma intervensi yang agresif kena kita lakukan khususnya dalam pemerkasaan Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata tahap penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT dalam SPM 2022 menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang dengan  peningkatan yang ketara dan berharap prestasi itu dapat dipertingkatkan.

Mengulas mengenai Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn, yang mendakwa menteri pendidikan enggan mengadakan pertemuan dengannya bagi mengadakan perbincangan berkaitan pembangunan pendidikan di negeri itu, Fadhlina berkata tarikh pertemuan sudah ditetapkan pada 14 Julai depan.

Selain itu, Fadhlina berkata program Pemerkasaan Bahasa Melayu SJKC dan SJKT yang bermatlamat mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan guru juga diharap memberi impak kepada perkembangan dan pengukuhan Bahasa Melayu  murid-murid di sekolah berkenaan.