- Iklan -
Berita

PRN ujian kesetiaan akar umbi Umno-DAP

Persoalan timbul apakah akar umbi kedua-dua pihak bersetuju ketepikan segala permusuhan selama ini.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 9 Jun. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 9 Jun. Gambar: Bernama

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi, "sokongan" dalam kalangan akar umbi Umno terhadap DAP dan sebaliknya terus menjadi persoalan utama.

Meskipun pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu bersetuju untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas, jelas sekali perasaan kekok antara ahli parti tidak dapat disembunyikan.

Perkara ini ibarat terang lagi bersuluh apabila Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini menuntut supaya DAP memohon maaf dan menarik semula segala tomahan yang dilemparkan kepada parti Melayu itu selama ini.

Meskipun tuntutan itu tidak ditunaikan "rakan" baru Umno itu, kedua-dua pihak bagaimanapun bersetuju untuk saling membantu, malah menyarankan ahli parti mengundi sama sendiri dalam usaha menghalang Perikatan Nasional (PN) meluaskan pengaruh di negara ini.

Bercakap dengan MalaysiaNow, ahli Umno Gombak yang bakal mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Razman Hakimi Abdullah berkata, agak sukar untuk membayangkan dirinya mengundi wakil rakyat daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas mengimbau kembali sejarah permusuhan kedua-dua pihak tersebut.

Katanya, tuntutan yang dibuat oleh Akmal adalah sangat berasas dan perlu dilaksanakan pemimpin DAP sekiranya mereka inginkan sokongan daripada akar umbi Umno.

"Dulu teruk kami dihina, dikeji apabila pemimpin DAP khususnya Lim Kit Siang membawa naratif bahawa Umno adalah parti rasuah. Kononnya kami semua ambil rasuah," katanya kepada MalaysiaNow.

"Kini, apabila salah seorang pemimpin mereka, V Sivakumar dikaitkan dengan salah laku, pandai pula minta rakyat jangan ‘hukum’ seluruh ahli parti itu.

"Sebab itu mereka (DAP) perlu minta maaf. Ramai ahli Umno sudah terguris hati."

Mengulas mengenai percaturan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) untuk berdepan PRN kali ini, Razman merasakan tidak adil sekiranya calon daripada Umno tidak dibenarkan bertanding untuk memberi laluan kepada calon gabungan dipimpin Anwar Ibrahim itu.

Katanya, perkara itu sewajarnya ditentukan rakyat yang berhak memilih calon untuk mewakili suara mereka.

Bagi Razman, dia kemungkinan akan berbuat demikian kerana rasa "tidak selesa" dengan prestasi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang pada masa ini dan dijangka beralih undi kepada PN termasuk jika gabungan politik itu meletakkan Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali sebagai calon.

"Jika bertembung sekalipun, biar rakyat yang pilih. Silap-silap keputusan ini akan sebabkan ahli untuk tidak mengundi, atau lebih teruk, mengundi pihak lawan.

"Jangan terkejut jika PN tawan DUN sekitar Gombak," kata Razman sambil menegaskan ini adalah pandangan peribadinya. 

Sementara itu, ahli DAP daripada Sembrong yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, berkata kerjasama antara BN-PH lebih "penting" bagi Umno memandangkan DAP masih berupaya mempertahankan kerusi tradisi mereka di kawasan bandar.

Katanya, tanpa Umno, kemungkinan besar DAP atau parti komponen PH masih mampu menang di kawasan membangun, namun persoalan utama ialah sama ada Umno mampu pertahankan kerusi mereka.

Pada PRU15, Umno menyaksikan kekalahan teruk apabila hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen, setelah kebanyakan "kubu" parti itu ditawan PN dengan PAS meraih kerusi tertinggi diikuti DAP.

"Mungkin ahli Umno yang masih membantah usaha sama Umno-DAP, tidak memahami mengapa kerjasama ini perlu dilaksanakan.

"Kami dalam kalangan ahli DAP memahami situasi semasa, oleh itu kami tidak berasa kekok," katanya kepada MalaysiaNow.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi