- Iklan -
Berita

Putrajaya diselar kerana tak libatkan pemegang taruh dalam pindaan undang-undang kewarganegaraan

Mereka berkata, kurang perincian terhadap undang-undang yang boleh mendatangkan kesan terhadap ribuan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan tersebut berkata 'kurangnya kejelasan dan transparensi' mengenai pindaan undang-undang kewarganegaraan yang dicadangkan oleh kerajaan. Gambar: Bernama
Kumpulan tersebut berkata 'kurangnya kejelasan dan transparensi' mengenai pindaan undang-undang kewarganegaraan yang dicadangkan oleh kerajaan. Gambar: Bernama

Lebih kurang 50 pertubuhan dan aktivis yang terlibat dengan perjuangan untuk hak kewarganegaraan sama rata menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Putrajaya untuk meminda undang-undang kewarganegaraan secara "berahsia" yang boleh menyebabkan ribuan anak-anak tanpa kewarganegaraan menjadi mangsa.

Mereka berkata, maklumat yang diterima berbeza-beza dan perincian tentang pindaaan yang dicadangkan amat sedikit sambil menambah pemegang taruh tidak dilibatkan dalam perbincangan.

"Ia dilakukan tanpa menjelaskan sebarang cadangan untuk mengehadkan atau membatalkan hak dan kebebasan asas, termasuk hak kewarganegaraan, tidak sepatutnya dilakukan secara rahsia dan tanpa sesi libat urus," kata kenyataan yang dikeluarkan 49 NGO termasuk 67 aktivis, ahli akademik dan peguam.

"Kami kecewa dengan kurangnya kejelasan dan transparensi, walaupun kerajaan memberi jaminan akan ada libat urus secara terbuka."

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan kewarganegaraan menjelang akhir tahun ini.

Kerajaan juga bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun terdapat kebimbangan kategori lain orang tanpa kewarganegaraan - seperti anak di luar nikah, anak angkat diambil warga Malaysia, termasuk anak-anak terbiar daripada keluarga yang bergenerasi tanpa dokumen - akan dinafikan kewarganegaraan di bawah undang-undang yang bakal dipinda.

Dalam kenyataannya, kumpulan itu memberi amaran langkah kerajaan untuk menyelesaikan masalah satu kategori orang tanpa kewargenegaraan tidak seharusnya menafikan hak golongan dalam kategori lain.

"Kerajaan tidak seharusnya memberi tawaran untuk melakukan pindaan yang akan menyebabkan hak kewarganegaraan kumpulan lain terjejas," kata mereka.

Mereka turut mengingatkan kerajaan hanya Malaysia dan Barbados yang menafikan hak kewarganegaraan anak kepada lelaki bukan warganegara dan anak di luar nikah.

Mereka turut mengecam kerajaan kerana gagal untuk mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021 yang memberikan kewarganegaraan kepada remaja yang ditinggalkan semasa lahir oleh ibunya yang tidak diketahui dan diambil sebagai anak angkat oleh pasangan Malaysia.

"Oleh itu kami menggesa kerajaan, terutamanya Kementerian Dalam Negeri untuk menangani situasi ini dengan segera dan mendedahkan berhubung implikasi pindaan hak kewarganegaraan yang mahu dicadangkan, dan mengadakan sesi libat urus secara holistik dan transparen dengan semua pemegang taruh," tambah kenyataan itu.

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Yayasan Chow Kit, Association of Women Lawyers, Empower, Lawyers for Liberty, Malaysian Council for Child Welfare, North South Initiative, Family Frontiers, Proham, Pusat Komas, Sisters in Islam, Suaram, Stateless Malaysians Citizenship Movement dan Women's Centre for Change.

Antara lain termasuk peguam dan aktivis hak kewarganegaraan kanak-kanak yang kebanyakannya terlibat dalam membantu lebih kurang sejuta anak-anak tanpa kewarganegaraan di Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.