- Iklan -
Berita

Patuhi keputusan pucuk pimpinan mengenai peruntukan kerusi, kata Asyraf

Beliau berkata 99.7% peruntukan kerusi telah berjaya diselesaikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Sekretariat Kerajaan Campuran Asyraf Wajdi Dusuki. Gambar: Bernama
Ketua Sekretariat Kerajaan Campuran Asyraf Wajdi Dusuki. Gambar: Bernama

Pengagihan kerusi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), harus diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi parti.

Ketua Sekretariat Kerajaan Campuran Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua pihak, harus akur dengan hasil kesepakatan dalam mesyuarat agihan kerusi yang lalu, yang dimuktamadkan.

“Semua orang boleh minta, tapi akhirnya kita sepakat dalam mesyuarat, kita serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tinggi parti dan dalam mesyuarat juga kita bersetuju dan akur dengan apa sahaja keputusan, sebab 99.7% (agihan kerusi) sudah selesai.

“Jadi tiada isu sebenarnya, biasalah mungkin yang akan minta dan sebagainya itu cuba-cuba nasib saat akhir, daripada presiden masing-masing,” katanya selepas mengadakan tinjauan mesra penerimaan bas elektrik dan merasmikan program MARA Brew 23, di Ibu Pejabat Mara di Kuala Lumpur hari ini.

Asyraf berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Amanah bahagian Hulu Selangor Abdul Mun'im Roslin, yang meluahkan rasa tidak setuju dengan hasrat Umno untuk bertanding di Hulu Bernam dan Batang Kali, iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor.  

Abdul Mun'im dalam kenyataannya, turut menuntut Umno untuk memberikan sekurang-kurangnya satu kerusi di antara Hulu Bernam dan Batang kali.

Kerusi DUN Hulu Bernam kini disandang oleh Rosni Sohar dari BN-Umno manakala DUN Batang Kali pernah disandang oleh BN-Umno, sebelum dikalahkan kali pertama oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

PRN Selangor membabitkan 56 DUN, manakala negeri lain yang terlibat ialah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.