- Iklan -
Berita

Pegawai polis lempar penghinaan dalam video tular ditahan kerja, kata menteri

Saifuddin Nasution berkata polis Bukit Aman juga telah membuka enam kertas siasatan tatatertib terhadapnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar seorang pegawai polis wanita menghina anggota polis lain yang tular di media sosial.
Tangkap layar seorang pegawai polis wanita menghina anggota polis lain yang tular di media sosial.

Pegawai polis wanita yang beberapa klip videonya tular baru-baru ini kerana memarahi anggota bawahan dan orang ramai ditahan kerja sejak minggu lepas, kata  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib juga telah dibuka di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman berkaitan tingkah laku pegawai polis wanita berkenaan.

Katanya polis mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menghadapi perilaku sedemikian yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat dan memberi sedikit sebanyak persepsi tidak sepatutnya terhadap polis.

“Selain itu, dua kertas siasatan polis juga dibuka (masing-masing) di bawah Seksyen 506 (ugutan jenayah) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam),” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata siasatan antaranya melibatkan kes video yang tular di Taman Sri Gombak, kes berkaitan memarahi dan mengaibkan empat anggota polis di Taman Sri Gombak dan kes  bertengkar dengan orang awam di kawasan parkir. 

Menurutnya rakaman percakapan terhadap suspek juga telah dilakukan pada Ahad lepas dan kedua-dua kes ini telah dirujuk Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Isnin lepas.

Pada 15 Jun lepas, tular satu klip video yang memaparkan seorang pegawai polis wanita yang memarahi anggota polis sehingga menimbulkan pelbagai kecaman dalam kalangan netizen.

Selain itu, terdapat satu lagi klip video yang tular membabitkan pegawai wanita berkenaan yang bertengkar dengan orang awam sambil mengeluarkan kata-kata tidak sopan selain cuba mencetuskan provokasi di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields pada Sabtu.

Menurut Seksyen 78(1) mengenai tahan kerja di bawah Akta Polis 1967:”Jika difikirkan perlu untuk kepentingan awam supaya seseorang pegawai polis berhenti menjalankan kuasa-kuasa dan fungsi-fungsi jawatannya dengan serta-merta.

Pihak Berkuasa Disiplin boleh menahan kerja pegawai polis itu, sementara menanti apa-apa penyiasatan mengenai kelakuan pegawai polis itu di bawah Akta ini atau mana-mana Peraturan-peraturan Polis yang dibuat di bawahnya atau mana-mana peraturan atau perintah yang terpakai kepada pegawai-pegawai lain yang mempunyai taraf yang sama di dalam perkhidmatan awam.”

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata terdapat seramai 40,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan turut melibatkan penugasan anggota dari negeri yang tidak menghadapi pilihan raya itu.

Ini bertujuan bagi memastikan keadaan keselamatan dalam negara terjamin terutama di negeri-negeri yang akan menghadapi PRN berkenaan iaitu Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu selain membolehkan rakyat menjalankan tanggungjawab mereka tanpa ada rasa takut.