- Iklan -
Berita

Rosmah gagal rayu batalkan kes rasuah projek solar hibrid di Sarawak

Mahkamah Rayuan juga menolak semakan kehakiman isteri bekas perdana menteri itu terhadap pelantikan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menolak rayuan isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan mencabar pelantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa raya dalam kes itu.

Panel tiga hakim diketuai hakim Mahkamah Rayuan Hanipah Farikullah memutuskan tiada merit untuk rayuan Rosmah itu.

Hakim See yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding secara dalam talian, menolak rayuan Rosmah dengan kos RM10,000.

Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak memberi kebenaran kepada Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya.

Rosmah, 71, yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden. 

Hakim See berkata panel hakim bersetuju bahawa permohonan Rosmah untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di luar masa, kerana permohonan itu sepatutnya difailkan dalam tempoh tiga bulan dari fiat (surat kebenaran) pertama kali dilihat.

Beliau berkata perayu (Rosmah) sepatutnya memfailkan permohonan itu dalam tempoh bermulanya tarikh fiat pertama kali dilihatnya dan seperti yang didakwanya sebagai tidak sah, sekali gus menyebabkan pelantikan Sri Ram salah di sisi undang-undang serta perbicaraan kes hibrid solar itu terbatal dan tidak sah.

"Semakan kehakiman, yang diberi mandat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh (penglihatan pertama) dan kami mendapati perayu sudah di luar masa berkenaan," katanya.

Hakim juga berkata tidak ada alasan kukuh bagi mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memberikan lanjutan masa bagi memfailkan semakan kehakiman.

Aturan 53 kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan bahawa permohonan untuk semakan kehakiman hendaklah dibuat dengan segera dan dalam apa jua keadaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh alasan bagi permohonan itu timbul atau apabila keputusan itu mula-mula dimaklumkan.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau. Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.

Rosmah didapati bersalah atas tiga pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesemua hukuman penjara itu adalah selama 30 tahun, namun mahkamah memerintahkan ia berjalan serentak selama 10 tahun.

Sementara itu, menurut Bernama peguam Akberdin Abdul Kader memberitahu pemberita bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan.

Rosmah turut diwakili peguam Jagjit Singh manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak responden.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.