- Iklan -
Berita

Kempen antirasuah Anwar tidak bergema ketika ekonomi sedang merudum, kata penganalisis

Mereka berkata adalah lebih baik Perdana Menteri Anwar Ibrahim menumpukan perhatian kepada isu seperti kos sara hidup dan nilai ringgit.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Peniaga menimbang makanan laut untuk pelanggan di pasar basah di Tanjung Karang, Selangor, 4 Mei.
Peniaga menimbang makanan laut untuk pelanggan di pasar basah di Tanjung Karang, Selangor, 4 Mei.

Meskipun mempunyai seorang timbalan perdana menteri yang terpalit dengan pendakwaan rasuah di mahkamah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetap tampak garang dengan kempen antirasuah, membersihkan pentadbiran dan memastikan ketelusan dalam negara.

Jargon yang sering keluar dalam ucapannya sudah boleh diagak kerana kerap diulang-ulang.

“Tata kelola”, “sakau” dan “perasuah” hampir setiap hari disebut, tambah-tambah apabila beliau kini sedang giat mengadakan program jelajah di seluruh negara membabitkan mahasiswa universiti.

Anwar juga tidak membuang masa mencari kesalahan dan kes-kes terkait perihal integriti membabitkan pihak lawan selepas menduduki Perdana Putra.

Sehingga kini, dua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sudah pun didakwa termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Namun dalam keadaan kos sara hidup yang masih belum selesai, pelan ekonomi yang masih kabur, ringgit yang merudum dan bursa yang semakin menjunam, persoalan timbul mengenai keberkesanan kempennya itu. 

Pemerhati politik Azizi Safar berkata, orang ramai tidak menganggap Anwar serius melawan rasuah kerana timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

"Rakyat hendak tahu apa Anwar hendak buat untuk pulihkan ekonomi negara. Rakyat juga hendak tahu apa beliau ingin laksanakan untuk turunkan kos sara hidup rakyat dan harga barangan keperluan harian. Ini lebih penting bagi mereka," katanya kepada MalaysiaNow.

Ringgit jatuh ke RM4.60 berbanding AS$1 pada 20 Jun dan berada dalam trend menurun sejak Januari lalu.

Selain itu, ramai masih merungut tentang kenaikan harga barang. 

Anwar juga baru-baru ini mengakui dasar kerajaannya “flip-flop” akan tetapi disebabkan mahu membantu rakyat.

Ini selepas pentadbirannya membuat pusingan U dalam beberapa perkara termasuk subsidi ayam dan telur serta pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) katanya.

Media juga melaporkan pelabur asing menjual saham selama sembilan minggu berturut-turut.

Menurut Azizi yang merupakan bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, subsidi bersasar masih gagal dilaksanakan walaupun kerajaan campuran berjanji ingin menyelesaikan perkara itu dalam masa dua minggu.

"Kesimpulannya, rakyat melihat cakap Anwar yang ingin melawan rasuah habis-habisan hanya retorik politik kempen pilihan raya yang tidak pernah terhenti.

“Beliau masih berkempen untuk menang pilihan raya walaupun sudah menjadi perdana menteri," katanya.

Ia jelas berbeza dengan kempen Dr Mahathir Mohamad semasa ingin menjatuhkan BN pada 2018 yang ketika itu di bawah pentadbiran Najib Razak.

Pengundi dilihat benar-benar marah dengan kes-kes membabitkan dana 1MDB.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata beliau tidak merasakan strategi Anwar berkesan dalam memacu usaha antirasuahnya.

"Rakyat masih tidak dapat melihat perubahan yang ketara dari segi kebaikan ekonomi.

“Sepatutnya Anwar mensosialisasikan pencapaian ekonomi kerajaan dalam program jelajah ini supaya rakyat tahu apa yang sudah dibuat oleh kerajaan sekarang," ujar beliau.

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menulis dalam laman web fulcrum.sg berkata, kemarahan Melayu ialah kerana hipokrasi pentadbiran sedia yang bercakap mengenai menghapuskan rasuah namun pada masa sama, memasukkan kepimpinan Umno yang tercemar dalam Kabinet.

Menurut beliau, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba akan dilihat sebagai tsunami ketidakpuasan hati dan bukannya “Gelombang Hijau”seperti yang disebut-sebut oleh beberapa pihak sebelum ini.

Dalam pada itu, pemerhati politik veteran Zin Mahmud berkata, mengutamakan tata kelola adalah penting dan perlu sentiasa diamalkan namun pada waktu ini, keutamaan perdana menteri seharusnya menyelesaikan cabaran masa kini seperti ekonomi, teknologi, keselamatan dan alam sekitar.

"Perdana menteri perlu lebih banyak duduk di pejabat bagi mencari penyelesaian cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara," kata Zin yang juga bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Katanya, Anwar juga wajar memberi perhatian kepada permasalahan rakyat membabitkan harga barangan, selain pelaburan dan tukaran mata wang.

“Perdana menteri juga wajar mempunyai visi mengenai sains dan teknologi bagi negara.

“Teknologi lebih penting daripada Madani," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.