- Iklan -
Berita

SKMM tidak teragak-agak ambil tindakan perundangan terhadap Meta

Menurut SKMM, platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja dan agama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata tindakan undang-undang terhadap syarikat induk Facebook Meta adalah perlu untuk mempromosikan 'akauntabiliti untuk keselamatan siber dan meningkatkan perlindungan pengguna'. Gambar: Reuters
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata tindakan undang-undang terhadap syarikat induk Facebook Meta adalah perlu untuk mempromosikan 'akauntabiliti untuk keselamatan siber dan meningkatkan perlindungan pengguna'. Gambar: Reuters

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memaklumkan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta, syarikat induk Facebook, susulan kerjasama tidak memadai daripada Meta untuk menurunkan kandungan memudaratkan daripada platformnya.

Menurut SKMM, platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja dan agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan-iklan penipuan, sehubungan itu, SKMM telah menghubungi Meta untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platformnya.

SKMM memaklumkan, di sebalik permohonan berulang kali daripada pihak SKMM, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan tersebut.

“Maklum balas pihak Meta yang lembab dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam.

“Memandangkan tahap kerjasama yang diberikan oleh Meta adalah tidak memadai, pihak SKMM tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital,” menurut SKMM dalam kenyataan hari ini.

SKMM memaklumkan tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemai kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk aktiviti penipuan.

Menurut kenyataan itu, SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan untuk aktiviti siber berniat jahat, ‘phishing’ atau pancingan data atau sebarang kandungan yang mengganggu-gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.