- Iklan -
Berita

Nyanyi lagu rakyat, bukan 'Oh Azizah', kata Azmin

Pengerusi PN Selangor itu berkata sepanjang tujuh bulan memerintah, rakyat sering disajikan dengan perkembangan yang tidak perlu selain melanggar janji sebelum pilihan raya umum.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, 24 Jun.
Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, 24 Jun.

Kegagalan kerajaan pusat menyediakan hala tuju yang jelas untuk pembangunan negara menyebabkan rakyat kini semakin terbuka meluahkan rasa tidak puas hati, kata pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata beliau memahami situasi itu kerana rakyat bawahan sudah memberikan peluang dan ruang yang cukup lama untuk melihat hala tuju kerajaan membangunkan negara.

Bagaimanapun, selepas mereka menunggu selama lebih tujuh bulan, mereka sering disajikan dengan perkembangan yang tidak perlu selain melanggar janji sebelum pilihan raya umum.

Menurut Azmin, dalam tempoh yang kritikal ini rakyat semakin dihimpit dengan kesusahan terutamanya melibatkan isu ekonomi dan kos sara hidup.

Pada saat penting ini, katanya, negara memerlukan kepimpinan yang baik dan memimpin negara, bukannya seorang selebriti.

"Ini bukan masanya nak menyanyi lagu 'Oh Azizah'," katanya, merujuk kepada lagu popular P Ramlee yang sering dinyanyikan Anwar untuk isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Kita nak nyanyi lagu rakyat. Rakyat sedang susah," katanya dalam ucapan di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam.

Ucapan itu kemudian diselangi dengan klip video menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendendangkan beberapa lagu dalam beberapa majlis.

Azmin berkata, rakyat kini memerlukan pemimpin yang rajin turun ke lapangan untuk mengenal pasti masalah rakyat dan seterusnya memacu ekonomi negara.

"Bukan naik gerek (basikal) dalam pejabat. 

"Kita nak pemimpin yang pacu ekonomi negara. Pertumbuhan negara. Bukan naik lembu," katanya sambil ditayangkan klip video menteri-menteri yang tular sebelum ini.

Tayangan video-video tersebut disambut dengan gelak tawa hadirin yang berada di dalam dewan tersebut.

Jelasnya lagi, disebabkan perkara-perkara itu masalah sebenar yang membelenggu rakyat masih belum diselesaikan.

Atas sebab itu, tidak menghairankan mengapa rakyat menjadi semakin "letih" dan sering marah di media sosial.

“Dengar tak dulu, hari ni memerintah...esok minyak turun.

"Dah turun ke tuan puan?

"Kalau harga minyak tak turun, kita turunkan dia," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.