Gurauan oleh Anwar Ibrahim terhadap seorang pelajar berusia 18 tahun sewaktu satu sesi dialog dengan pelajar universiti, di mana perdana menteri itu berkata beliau mungkin akan memikatnya jika masih muda, dikritik sebagai kenyataan bersifat seksis yang tidak harus diucapkan pemimpin tertinggi negara.
Semalam, Anwar ketika hadir di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), memuji pelajar perempuan itu sambil menambah akan meminta nombor telefonnya sekiranya beliau masih muda.
Ia mengundang reaksi keras dari seorang peguam Bersatu.
"Ia contoh terbaik perangai diskriminasi dan seksis ditunjukkan oleh seorang perdana menteri berusia 75 tahun kepada Adriana yang berusia 18 tahun,” kata Sasha Lyna Abdul Latif, yang merupakan timbalan pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu.
"Apakah contoh yang diterapkan oleh PM kepada golongan belia? Yang seorang wanita yang cerdik dan mempunyai harapan boleh ditidakkan, sebaliknya menganggap mereka sebagai objek godaan?" tanya Sasha.
Pada sesi dialog di Usim itu, seorang pelajar Tingkatan 6 yang memperkenalkan dirinya sebagai Adriana melontarkan dua soalan berkisar kepada ekonomi dan kejatuhan ringgit.
Anwar dalam jawapannya memuji remaja itu kerana "kemas" menyampaikan soalan, sebelum berkata: "Kalau saya muda, saya dah minta nombor telefon dah."
Ia disambut pemuda yang menjadi pengerusi majlis: “Datuk Seri dah dapat bagi dekat saya.”
Sasha berkata Adriana mengemukakan soalan yang "serius yang difikirkan dengan cermat dan berhak mendapat jawapan yang betul", sebaliknya reaksi Anwar "tidak kena, berbaur diskriminasi dan seksis".
"Sudah tentu komen sama tidak diberikan sekiranya soalan sama dikemukakan oleh seorang lelaki.
“Kesimpulannya, seorang pemimpin, apatah lagi pemimpin sebuah negara, tidak boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu kepada pelajar dengan alasan hanya bergurau. Anwar sepatutnya lebih tahu dan episod ini adalah cerminan tidak baik terhadap beliau," tambahnya.
Sasha berkata tingkah laku Anwar adalah bertentangan dengan ucapan "Madani" dan slogan lain yang disampaikannya pada setiap forum dan ceramah.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin wanita dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) serta daripada kerajaan akan bersuara menentang "contoh seksisme yang nyata ini oleh pemimpin mereka sendiri".
"Mereka mesti bersuara untuk wanita atau bersedia dicap munafik," katanya sambil turut menggesa Anwar memohon maaf secara terbuka kepada pelajar itu dan mereka yang menghadiri majlis itu.
Di media sosial, Anwar dikecam kerana gurauan itu.
"Ia satu jenaka. Tetapi adakah ia sesuai untuk pemimpin negara?" soal Hazar di Twitter.
"Dia pernah buat macam ni dulu dengan Amelia. Sekarang dengan pelajar Tingkatan 6. Ini tak boleh. Dah banyak peringkat pun salah," kata Fatihah.
Seorang lagi pengguna media sosial berkata apa yang diungkapkan oleh Anwar jelas termasuk di bawah kesalahan gangguan seksual.
"Kalau di ofis, HR dah bagi ‘sexual harrasment warning letter’ (surat amaran gangguan seksual) dah nie... setiap kali, and we keep letting him meet our youngsters (dan kita terus membiarkan beliau bertemu anak-anak muda)."
Seorang lagi berkata senario itu akan berbeza sekiranya pemimpin PAS yang mengeluarkan komen sedemikian kepada pelajar perempuan itu.
"Ni kalau orang PAS cakap macam itu, berduyun serang kata sangap.
“Takpa, Bang Non kita, ‘sexual harassment’ pun kita sanggup ‘slurp’, yang penting jadi PM."