- Iklan -
Berita

Remaja bimbang tidak boleh ambil SPM kerana tiada kerakyatan

Edward Tan menyimpan cita-cita tinggi untuk menjadi seorang anggota polis suatu hari nanti.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Edward Tan (kiri) bersama neneknya Lee Lay Wah sewaktu temu bual dengan MalaysiaNow di kediamannya baru-baru ini.
Edward Tan (kiri) bersama neneknya Lee Lay Wah sewaktu temu bual dengan MalaysiaNow di kediamannya baru-baru ini.

Menjadi seorang anggota polis adalah cita-cita Edward Tan yang berhasrat untuk mengurangkan jenayah di negara ini.

Namun, impiannya itu mungkin tidak akan tercapai disebabkan status kerakyatannya apabila dia tidak diiktiraf sebagai seorang warga Malaysia.

Tan yang dilahirkan di Klang pada 2008 tidak menerima kerakyatan apabila perkahwinan bapanya, Tan Thian Leng, bersama ibu kandungnya yang merupakan warga Indonesia tidak didaftarkan secara rasmi di negara ini.

Remaja berusia 16 tahun itu kini dibesarkan di bawah jagaan bapanya bersama ibu tiri, Laddawan Caisaran, dibantu neneknya Lee Lay Wah yang berusia 76 tahun.

Ibu kandungnya pula sudah pulang ke Indonesia, dua minggu selepas kelahirannya dan tidak pernah berhubung sejak itu.

Edward Tan memegang pakaian seragamnya sebagai pengawas percubaan.
Edward Tan memegang pakaian seragamnya sebagai pengawas percubaan.

Menceritakan kisah Tan kepada MalaysiaNow, Lee berkata mereka pada mulanya agak bingung dengan situasi tersebut kerana mereka tidak pernah dengar tentang "tiada kerakyatan", menyebabkan mereka tidak tahu untuk merujuk kepada pihak yang sewajarnya.

"Kami hanya ambil butiran kelahiran dari klinik dan daftarkan dia di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), isi segala butiran yang diperlukan. Itu sahaja," katanya kepada MalaysiaNow.

"Saya terkejut apabila melihat status (tiada kerakyatan) itu. Tak pernah saya dengar sebelum ini.”

Menurut Lee, disebabkan keluarganya kurang arif dengan isu sedang dihadapi, maka mereka terpaksa bergantung kepada segala maklumat yang diterima daripada rakan dan kenalan rapat.

Katanya, dia dimaklumkan untuk membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi usaha itu gagal selepas permohonan ditolak.

Empat tahun kemudian, Lee mengupah seorang peguam yang kemudian menasihatkannya membuat permohonan kerakyatan dengan mendaftar cucunya sebagai anak angkat kepada anaknya.

Edward Tan duduk di dapur bersama nenek dan ibu bapanya di kediaman mereka di Klang.
Edward Tan duduk di dapur bersama nenek dan ibu bapanya di kediaman mereka di Klang.

"Kami buat petisyen ambil dia sebagai anak angkat dan ia diluluskan sebelum menerima sijil beranak warna hijau, tetapi statusnya masih bukan warganegara.

"Peguam kemudian sarankan kami daftar bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan (Permohonan Taraf Kewarganegaraan) dan pada 2013, kami dimaklumkan permohonan ini ditolak," jelasnya.

Pada ketika itu, Lee mengakui sudah berputus asa, namun semangat untuk memperjuangkan kerakyatan cucunya itu diteruskan pada 2016 selepas terbaca berita mengenai pemuda bernama Navin Moorthy yang berjaya mendapatkan kerakyatannya.

Lee seterusnya berusaha dan berjaya bertemu dengan peguam yang terlibat dengan kes itu, sebelum dinasihatkan untuk membuat permohonan bersama KDN sekali lagi.

"Kami tunggu sehingga 2019 dan berjumpa dengan pegawai KDN. Namun, terkejut apabila dimaklumkan bahawa permohonan yang dibuat Ogos 2016 hanya diterima pada Januari 2018.

"Ini menunjukkan KDN dan JPN tidak mempunyai SOP yang jelas berhubung perkara itu. Akhirnya kanak-kanak tiada kerakyatan yang jadi mangsa," katanya kecewa.

Edward Tan menggantung beberapa pingat yang dimenanginya dalam acara lumba lari sebelum ini.
Edward Tan menggantung beberapa pingat yang dimenanginya dalam acara lumba lari sebelum ini.

Meskipun terpaksa mengharungi cabaran itu, Lee bagaimanapun bersyukur apabila Tan berjaya dimasukkan ke sekolah sejak berusia tujuh tahun.

Namun begitu, memandangkan Tan kini sudah masuk Tingkatan Empat, Lee bimbang cucunya itu tidak akan dibenarkan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan disebabkan status kerakyatannya.

Sementara itu, Tan berharap isu kerakyatannya itu dapat diselesaikan segera agar dia dapat menikmati kehidupan normal seperti rakyat Malaysia lain.

"Perkara pertama yang saya ingin buat sekiranya diberi kerakyatan ialah mencari pekerjaan separuh masa untuk membantu keluarga saya.

"Selagi saya tidak ada kerakyatan, segala aktiviti saya adalah terhad, malah saya nak berjalan jauh bersama rakan pun saya bimbang ditahan pihak berkuasa," tambahnya.