- Iklan -
Berita

Isa Samad dimasukkan ke hospital, rayuan ditangguh 16 Oktober ini

Peguam kepada bekas pengerusi Felda itu, Salehuddin Saidin memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa Isa Samad dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail bekas pengerusi Felda Isa Samad di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Gambar fail bekas pengerusi Felda Isa Samad di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Pendengaran rayuan Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, ditangguhkan sekali lagi berikutan bekas pengerusi Felda itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seremban kerana masalah jantung.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Hadhariah Syed Ismail, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin membenarkan penangguhan itu selepas peguam Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd Isa memaklumkan bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital malam tadi dan laporan perubatan telah diterima daripada pihak hospital pagi ini.

"Isteri kepada Mohd Isa selaku penjamin juga tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana semalam beliau mendapatkan suntikan pada lututnya yang sakit dan beliau tidak boleh berjalan hari ini akibat suntikan itu.

“Kami baru dimaklumkan mengenai perkara itu dan pihak keluarga memohon maaf atas kesulitan tersebut,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah penangguhan rayuan berkenaan. 

Hakim Hadhariah, yang kemudiannya menetapkan 16 Okt depan untuk pendengaran rayuan berkata pihak mahkamah berharap agar Mohd Isa sihat pada tarikh pendengaran baharu itu.

"Jika ada masalah sakit, tidak ada sesiapa boleh buat apa-apa," kata hakim itu.

Sebelum ini, rayuan berkenaan ditetapkan pada 7 Mac lepas, namun pada tarikh itu, rayuan berkenaan dijadual semula hari ini (26 Jun) berikutan pihak pembelaan memerlukan masa untuk membalas hujahan pendakwaan.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan. 

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.