- Iklan -
Berita

KPDN cadang tubuh jawatankuasa khas rancang aktiviti ekonomi sempadan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub berkata cadangan itu akan membangunkan program pendekatan negara untuk melindungi kekayaan negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub semasa sidang media di bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub semasa sidang media di bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama

Satu jawatankuasa khas dianggotai empat kementerian dicadang ditubuhkan bagi mengemukakan pelan komprehensif dalam merancang dan mengembangkan aktiviti komersial di sempadan negara sekali gus mengelak ketirisan barangan bersubsidi. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub berkata selain kementeriannya, jawatankuasa itu akan turut melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Salahuddin berkata buat masa ini, beliau melihat potensi besar di sempadan Sabah dan Sarawak khususnya dengan Brunei dan Indonesia yang dijangka turut memberi pulangan kepada rakyat dan negara. 

“Kita kena bersedia khususnya apabila Nusantara dibangunkan, dan Indonesia berlari pantas menyuburkan ekonomi mereka dan kita di Sabah dan Sarawak tidak boleh ketinggalan. 

“KPDN mengambil tanggungjawab penuh usaha bagaimana kawasan sempadan ini kita komersialkan dan situasi menang-menang ini harus kita dapat supaya barangan tempatan boleh dibeli (rakyat asing) tanpa subsidi dan aktiviti penyeludupan dapat kita minimumkan pada masa ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan berhubung Pembinaan Stesen Minyak Tanpa Subsidi di Bandar-bandar Sempadan Negara pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Salahuddin berkata potensi besar pengembangan ekonomi sempadan itu antara lain dapat dilihat apabila baru-baru ini sebanyak 150 metrik tan gas petroleum cecair (LPG) tidak bersubsidi dihantar negara dalam Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei.

“Ini membuktikan bahawa bukan hanya LPG, saya nampak dengan Indonesia dan Brunei lebih banyak aktiviti komersial sempadan dapat kita tingkatkan,” katanya.

Beliau berkata ketika ini menerusi projek rintis stesen minyak tanpa subsidi di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan.

Sehubungan itu beliau berharap cadangan jawatankuasa khas yang akan dibawa beliau kepada kabinet itu akan dapat merancang lebih banyak program ekonomi dengan pendekatan seluruh negara demi menyelamatkan wang kerajaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.