- Iklan -
Berita

Muda bertanding 'solo' dalam PRN di semua 6 negeri

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu dicapai secara konsensus dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Facebook
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Facebook

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bertanding secara ‘solo’ pada pilihan raya negeri (PRN) di semua enam negeri terlibat, kata Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata keputusan itu dicapai secara konsensus dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti, selepas mengadakan perbincangan bersama dengan masyarakat dan badan bukan kerajaan, mengenai hala tuju parti. 

“MUDA telah pun membuat ketetapan yang jelas, dan berdasarkan kepada konsensus parti, iaitu pada enam PRN nanti, Muda akan menyertai dan akan bertanding di atas kekuatan parti kita sendiri,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Muda, di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas punca Muda mengambil keputusan sedemikian, Syed Saddiq berkata parti itu tidak lagi mahu terikat dengan dua blok politik ‘lama’ dan ingin membawa pembaharuan dalam perjuangan untuk mengangkat suara rakyat.

“Kini saya boleh katakan akhirnya Muda ‘boleh bersuara dengan suaranya sendiri’. Muda sertai PRN untuk menjadi suara nurani rakyat, supaya rakyat ada alternatif, dan bukan hanya melihat kepada dua blok politik, Muda dengan penuh rasa rendah diri ingin memohon sokongan rakyat Malaysia,” katanya. 

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun berkata Muda masih belum memuktamadkan calon dan jumlah kerusi yang akan ditandingi, dan ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. 

Sementara itu, beliau berkata MUDA akan cuba melaksanakan gaya berkempen baharu dengan majoritinya akan diadakan secara dalam talian, untuk mengurangkan kebergantungan parti itu kepada pendanaan, dengan kempen pertama kaedah berkenaan bermula malam ini.

Turut diumumkan Ketua Penerangan Muda, Luqman Long dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti itu manakala Ahli Jawatankuasa Pusat Muda, Nurainie Haziqah Shafii sebagai timbalannya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.