- Iklan -
Berita

Samsuri menghadap Sultan Terengganu esok, mohon perkenan bubar DUN

Ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya di negeri ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar. Gambar: Bernama
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar. Gambar: Bernama

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin esok, untuk mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang itu, beliau akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN kepada baginda di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu pada 9 pagi.

Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan, beliau berkata perkara itu akan diumumkan selepas selesai beliau menghadap Tuanku Sultan.

"Esok saya akan menghadap Tuanku pada sebelah pagi, sudah dapat perkenan untuk menghadap ….  Sebaik saya sembah maklum Tuanku (baru umum tarikh) …. Lebih cantik saya maklumkan Tuanku dulu, insya-Allah lepas itu buat kenyataan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, hari ini.

Samsuri turut memberitahu tempoh mandat DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan 22 kerusi dikuasai PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14, manakala selebihnya milik Barisan Nasional (BN).