- Iklan -
Berita

Siapa pilihan pengundi Melayu di pinggir bandar Selangor?

Mereka berkata, kos sara hidup dan layanan golongan pekerja adalah antara faktor yang akan diambil kira.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Dua penduduk Kampung Medan bersantai di sebuah kedai kopi berhampiran rumah mereka.
Dua penduduk Kampung Medan bersantai di sebuah kedai kopi berhampiran rumah mereka.

Suasana pagi di Taman Medan di Petaling Jaya, Selangor diiringi hingar-bingar penjaja kecil yang menjalankan perniagaan masing-masing.

Jalan raya juga tidak kurang sibuknya dengan banyak lori muatan berat, bas sekolah dan bas awam selain kereta dan motosikal lalu lalang menuju ke destinasi masing-masing.

Beberapa pejalan kaki dan pekerja warga asing juga kelihatan bergegas dalam kesibukan harian di kawasan tersebut.

Di sebuah kedai kopi terletak di belakang blok pangsapuri kos rendah, Adnan, 59 tahun menghabiskan banyak masa melepak bersama rakan-rakan seusianya.

Dia yang bekerja sebagai buruh kontrak di tapak pembinaan hanya bekerja apabila dipanggil oleh majikan.

Menggelar dirinya sebagai anak jati Taman Medan, Adnan berkata, ibu bapanya sudah menetap di kawasan itu sejak lebih tujuh dekad lalu.

Baginya, tiada perubahan yang signifikan di kawasan tersebut sejak pertama kali beliau membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-8 dalam tahun 1990.

"Baik Umno- BN (Barisan Nasional) atau PKR - PR (Pakatan Rakyat) dan PH (Pakatan Harapan) sama sahaja.

"Hidup kami macam ni juga," katanya kepada MalaysiaNow.

Rata-rata penduduk di kawasan tersebut ialah golongan kelas pekerja yang tinggal di kawasan pinggir bandar dalam negeri Selangor.

Taman Medan terletak di pinggir Petaling Jaya memiliki majoriti penduduk terdiri daripada kaum Melayu.

Pada tahun 1994, Taman Medan pertama kali dipertandingkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan diwakili oleh seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Mengulas lanjut, Adnan bercerita beberapa perubahan yang dilakukan kerajaan negeri terhadap penduduk di sekitar itu khususnya pembinaan pondok menunggu bas, stesen bas dan perkhidmatan bas percuma.

Perkhidmatan bas percuma itu bermula ketika Mohamed Azmin Ali menjadi menteri besar dari 2014 hingga 2018.

"Bas percuma komuniti. Itu bagus. Anak-anak balik sekolah atau tuisyen, orang tua keluar pergi klinik. Saya sendiri pergi kerja pun guna juga."

Dia merujuk kepada perkhidmatan bas komuniti secara percuma bagi penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS) yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran petaling Jaya (MPPJ) pada April 2016 bertujuan untuk kemudahan pengangkutan kepada penduduk sekitar khususnya warga tua, dari Kampung Lindungan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang melibatkan perjalanan pergi dan balik.

Sementara itu, seorang penjaja buah kelapa dan minuman di Taman Datuk Harun, Norizah Ahmad Daod berkata menjelang PRN akan datang dia tidak teragak-agak untuk mengalih sokongan kepada mana-mana gabungan yang jelas berpihak kepada golongan bawahan. 

Menurut wanita berusia 68 tahun itu, kos sara hidup akan menjadi isu penting dalam penilaiannya sebelum membuang undi pada PRN akan datang. 

Bekas guru agama itu kini tinggal di Taman Medan sejak awal tahun 1990 selepas berpindah dari Banting.

"Kita tak kisah jumpa orang yang sama sebagai wakil rakyat.

“Asalkan ideanya selalu baru," katanya kepada MalaysiaNow sambil ketawa kecil.

Dia memuji pentadbiran bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali dengan menyifatkan menerima banyak menerima manfaat sepanjang pentadbiran pemimpin itu.

Antaranya, perkhidmatan bas percuma, sumbangan khas untuk bekas guru agama dan ibu tunggal selain bantuan kebajikan melalui kerajaan negeri.

Bolehkah undi mereka berpaling arah?

Sebelum ini Selangor merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Akan tetapi dalam PRU12 pada tahun 2008 mengejutkan ramai pihak apabila PR ketika itu di blok pembangkang berjaya mendapatkan 36 kerusi berbanding 20 kerusi oleh BN.

Perkembangan itu sekali gus menjadikan Selangor daripada lima buah negeri yang lain dimenangi oleh gabungan tersebut.

Bercerita lebih lanjut, Adnan menolak sangkaan kononnya pengundi Melayu di kawasan bandar di Selangor tidak pernah ada niat untuk berubah atau beralih angin daripada mengundi PKR.

Katanya, jika diperhatikan suasana politik di negeri itu didapati kem-kem "panas" oleh Perikatan Nasional (PN) sedang aktif mempengaruhi pengundi dan mendekati penduduk setempat.

Khususnya, kata Adnan, mereka membuat video-video di TikTok bercerita tentang kelebihan sekiranya PN menawan Selangor selain beberapa video sampingan yang berkaitan dengan isu semasa.

"Siapa yang kata orang Taman Medan ke orang Selangor tak pernah terfikir nak undi parti lain tu tak betul.

"Tengok kat TikTok. Ada yang marah, ada yang tak puas hati."

Katanya, para pengundi sudah merasakan pengalaman berada dalam pentadbiran kedua-dua rakan gabungan kerajaan campuran iaitu BN dan PH.

Atas sebab itu, pengundi Selangor mampu untuk menilai setiap sumbangan dan kemajuan yang dilakukan oleh pentadbiran kedua-dua pihak itu terhadap negeri mereka. 

"Susah nak cakap kalau orang lain boleh menang.

“Tapi (pengundi) berpaling atau tukar angin tu mesti akan ada," katanya sambil menghembus asap rokok.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.