- Iklan -
Berita

4.5 juta rakyat Malaysia mungkin hilang pekerjaan jika tidak tingkat kemahiran

V Sivakumar memetik peningkatan kecerdasan buatan dan penggunaannya dalam automasi tugas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja asing di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Shah Alam, Selangor. Gambar: AFP
Seorang pekerja asing di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Shah Alam, Selangor. Gambar: AFP

Seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berkemungkinan hilang pekerjaan menjelang 2030, sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata Forum Ekonomi Dunia 2020 memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh menyebabkan berlakunya kemelesetan pasaran pekerjaan berikutan AI sudah digunakan untuk mengautomasikan tugas dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan pelanggan.

“Dalam laporan yang sama turut menyatakan bahawa untuk mengekalkan pekerjaan dalam tempoh dua tahun akan datang, 50% pekerja perlu dilatih semula, dengan kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0, wujud keperluan yang mendesak untuk kita mengubah tenaga kerja negara supaya menjadi tenaga kerja yang lebih mahir untuk kekal relevan.

“Namun, kita bernasib baik kerana pekerjaan yang baru muncul ini ialah pekerjaan yang boleh digabungkan dengan teknologi dan keperluan meningkatkan kemahiran bukan sahaja untuk kemajuan atau perubahan kerjaya, tetapi untuk kekal dalam pekerjaan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran dan Apresiasi Industry Driven Talent Acceleration Programme (ID-TAP) 2023 di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) hari ini.

Berikutan itu, Sivakumar berkata kementeriannya menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) mewujudkan ID-TAP yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan melatih semula 900 pekerja dalam negara berdasarkan keperluan industri. 

Untuk inisiatif tersebut, Sivakumar berkata sebanyak RM7.2 juta diperuntukkan bagi peserta yang merupakan mereka yang bekerja dan akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan oleh industri seperti mekatronik, kejuruteraan elektrik dan elektronik, analisis data serta teknologi maklumat.

“Sasaran kerjasama ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula 900 pekerja berdasarkan keperluan industri dalam memacu ekonomi negara.

“Antara kumpulan bakat yang disasarkan adalah pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja selama lima tahun dan ke bawah bagi meningkatkan kemahiran dan melatih semula para pekerja tersebut mengikut keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah memberi kelulusan kepada 627 peserta antaranya Kedah sebagai yang tertinggi iaitu 177, Selangor (88) dan Negeri Sembilan (75) yang akan dilatih di bawah program itu.

Sivakumar berkata mereka yang berminat mengikuti program tersebut boleh memohon menerusi industri ataupun syarikat dan pusat pembangunan kemahiran negeri serta perlu melalui beberapa proses di peringkat penyedia latihan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.