- Iklan -
Berita

Langkawi venue sesuai dan strategik anjur Lima, tiada keperluan ubah lokasi

Langkawi telah menjadi venue untuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) sejak 1991.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mula membanjiri kawasan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri seawal jam 7.30 pagi bagi merasai sendiri pengalaman menyaksikan pertunjukan udara dan maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima 2023), 26 Mei. Gambar: Bernama
Orang ramai mula membanjiri kawasan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri seawal jam 7.30 pagi bagi merasai sendiri pengalaman menyaksikan pertunjukan udara dan maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima 2023), 26 Mei. Gambar: Bernama

Kerajaan berpendapat Langkawi perlu dikekalkan sebagai venue penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) memandangkan lokasinya yang amat strategik dan bersesuaian untuk acara dwitahunan itu diadakan. 

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata Langkawi, yang menjadi lokasi Lima sejak 1991, memiliki lapangan terbang dan kawasan lapang untuk menempatkan pelbagai jenis pesawat dan kapal terbang, lokasi laut strategik selain infrastruktur mencukupi dan bersesuaian. 

“Baru-baru ini (Lima’23) ada lebih 100 kapal terbang untuk pertunjukan udara, aerobatik dan statik, kapal terbang ketenteraan, komersial dan jet peribadi. Jadi kita memerlukan kawasan amat sesuai untuk letakkan kapal terbang dan pesawat ini.

“Kerana untuk pertunjukan aerobatik kita kena tutup lebih kurang empat jam ruang udara, ‘no flying zone’ pada ketika itu, ia akan mengganggu lalu lintas penerbangan awam sebab itu Lima kita adakan di Langkawi memandangkan lautnya juga merupakan pelabuhan yang terlindung dan kedalamannya sesuai,” katanya. 

Beliau berkata demikian di Dewan Negara bagi menjawab soalan Jefridin Atan yang ingin tahu jika terdapat cadangan untuk Lima diadakan di luar Langkawi memandangkan terdapat permintaan tinggi daripada rakyat di luar Langkawi selain mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir ke acara itu. 

Mohamad berkata selain lokasi strategik, Langkawi turut memiliki lebih kurang 15 hotel bertaraf antarabangsa bagi menempatkan pelawat dan pengunjung yang hadir dari dalam dan luar negara. 

“Itu pun tak cukup, habis segala homestay, beribu-ribu orang datang,” katanya dan menambah, kira-kira 600 pempamer daripada 13 negara menyertai Lima’23.

Beliau berkata Lima mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai negara dengan ada juga cuba untuk mengesahkan penyertaan pada saat akhir, namun terpaksa ditolak disebabkan beberapa faktor antaranya kekurangan tempat.

“Misalnya ada lima negara mengambil bahagian (pertunjukan udara) termasuk negara kita enam, dan ada dua pasukan aerobatik masih lagi mahu hingga saat akhir untuk membuat pertunjukan tapi kita terpaksa tolak,” katanya. 

Disebabkan itu, beliau sendiri mengusulkan kepada Dewan Rakyat agar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) diperbesarkan bagi menampung jumlah pempamer yang semakin bertambah daripada pelbagai negara.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.