Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyindir tindakan kerajaan yang dilihat semakin agresif untuk mendiamkan pengkritik meskipun selama ini memperjuangkan kebebasan bersuara.
Ia susulan ancaman yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil semasa sesi live di TikTok miliknya baru-baru ini.
Katanya, undang-undang dibuat bukan untuk menangkap parti lawan, tetapi untuk mencegah jenayah.
"Inilah kerajaan, kononnya 'freedom of speech'. Dia boleh kata macam-macam terhadap orang Melayu tetapi kita hendak bercakap sikit pun tentang nasib orang Melayu dikatakan rasis," katanya selepas melancarkan Proklamasi Melayu di Sepang, Selangor hari ini selepas dua minggu mengadakan lawatan kerja di Eropah.
Mahathir turut menerima 1,000 borang proklamasi itu yang sudah ditandatangani.
Fahmi yang baru-baru ini mengancam untuk mengambil tindakan terhadap pengguna internet yang meninggalkan komen semasa sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya.
"Semua anda yang masuk dalam live saya dan mengeluarkan kenyataan ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.
"Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio car yang singgah di rumah anda. We are monitoring, behave yourself (Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda)," kata Fahmi.
Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak antaranya dari parti kerajaan, Muda.
Kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dilaporkan menghalang majlis Proklamasi Melayu yang dipelopori Mahathir beberapa kali sejak ia diperkenalkan.
Menurut Mahathir, rakyat akan memerhatikan tindakan kerajaan dalam menyekat kebebasan bersuara.
"Dia hendak salah guna undang-undang, itu kita perhatikan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahahtir yang juga bekas ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan beliau tidak akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung.
Mahathir juga menyatakan kesediaan untuk bertemu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.