- Iklan -
Berita

Perantau meriahkan sambutan Hari Raya Haji di sempadan Malaysia-Thailand

Kesibukan di sempadan Thailand dijangka berterusan meskipun selepas perayaan itu apabila para pekerja kemudiannya kembali ke Malaysia.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa perantau berada di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan.
Beberapa perantau berada di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan.

Jam menunjukkan tepat pukul 2 petang ketika sekumpulan orang ramai berjalan kaki lebih dua km menuju ke pintu masuk sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand di pekan Rantau Panjang, Kelantan.

Cuaca yang panas terik dan bahang mentari tidak mematahkan semangat mereka, warganegara Thailand yang mencari rezeki di seluruh Malaysia demi pulang bercuti menyambut Hari Raya Haji.

Mereka nekad untuk berjalan kaki sejauh itu selepas keadaan lalu lintas menjadi amat sesak sejak Isnin apabila perantau mula pulang kampung halaman masing-masing.

Tinjauan MalaysiaNow di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada Selasa mendapati kenderaan masuk ke Thailand melebihi daripada kenderaan keluar daripada negara jiran itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, tiga orang warganegara Thailand yang mahu pulang ke Narathiwat menunggu motor tambang untuk membawa mereka ke tempat pemeriksaan barang di dalam kompleks tersebut.

Harga tambang pula bergantung dengan kapasiti barang yang dibawa penumpang atau tambahan penumpang lain seperti kanak-kanak.

Hashim Aweng, 47 tahun bersama isteri dan anak lelakinya bermalam di Rantau Panjang pada Isnin dan memulakan perjalanan ke kampung pada Selasa.

Katanya, perancangan untuk pulang menyambut ibadah korban sudah dibuat dengan rapi sejak dua tahun lalu apabila perniagaan mereka mulai rancak selepas pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Tahun ini, mereka bertiga berkesempatan untuk menyambut raya bersama keluarga dan berjalan kaki dari hotel dengan jarak hampir tiga kilometer.

Kereta beratur di luar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Kereta beratur di luar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Selepas solat Zohor, mereka daftar keluar dari hotel dan berehat sebentar di kaki lima luar kawasan kompleks ICQS tersebut.

"Sudah lama rasanya tak tengok suasana macam ni.

"Kereta jujuk molek (beratur panjang).

"Ramai orang Siam yang berniaga ulang alik ke Malaysia rindu suasana balik raya meriah begini," katanya sambil menunggu giliran motor tambang.

Bersamanya terdapat dua beg baju dan satu beg galas berisi buah tangan berupa makanan ringan dan beberapa helai tudung.

Sejak awal tahun 1990-an, Rantau Panjang menjadi transit paling terkenal dalam kalangan warganegara Thailand dengan kawasan itu sebagai Zon Bebas Cukai menggalakkan lagi jual beli sebelum pulang ke tanah air.

Dibina sekitar tahun 1994, kompleks itu menjadi tumpuan utama pelancong domestik untuk ke Sungai Golok, Songkla, Narathiwat dan Hat Yai, antara lokasi yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia apabila melawat negara berkenaan.

Selain menggunakan laluan darat, secara tradisinya mereka menggunakan laluan air melalui pangkalan-pangakalan perahu di tepi Sungai Golok yang menjadi pemisah kepada dua negara tersebut.

Warganegara Thailand yang masuk ke negara mereka menggunakan laluan air lazimnya hanya perlu menunjukkan kad pengenalan dan pengesahan diri kepada askar ataupun pegawai yang bertugas di pintu-pintu masuk.

Sementara itu, suasana di sekitar kompleks pula meriah dengan barisan panjang orang ramai beratur bagi mendapatkan pengesahan pasport di kaunter kastam dan imigresen sebelum dibenarkan masuk ke pintu sempadan.

Tidak dilupakan, kenderaan anak-anak perantau pulang ke negeri Kelantan untuk beraya menambahkan lagi bilangan pengguna di atas jalan raya.

Kelihatan juga beberapa anggota polis trafik membantu melancarkan pergerakan kenderaan dan keselamatan pejalan kaki di tengah-tengah kesibukan jalan raya.

Jana ekonomi penduduk setempat

Di luar kompleks pula, beberapa penjaja lincah menyiapkan pesanan pelanggan yang makin ramai menunggu giliran masuk ke kaunter kompleks ICQS.

Perut yang lapar ketika menunggu minta diisi.

Affendi Yatim, menjaja makanan ringan di kaki lima tepi kompleks itu tersenyum senang apabila dikerumuni pelanggan yang tidak putus sejak pukul 8 pagi.

Katanya, pada hari biasa amat sukar untuknya menghabiskan jualan.

Bahkan, untuk mendapat keuntungan dengan jumlah RM50 sehari juga susah.

Bagaimanapun, sejak Isnin dia boleh menghabiskan makanan jualannya sebelum tengah hari.

"Selepas waktu Zohor, saya akan kembali meniaga semula dengan makanan yang baru ditambah untuk pelanggan.”

Dia memberitahu, keadaan dan suasana meriah itu dijangka berterusan sehingga selepas musim perayaan Aidiladha.

Katanya, ketika itu, lebih ramai warganegara Thailand akan pulang melalui negeri Kelantan sebelum bergerak ke kawasan di seluruh Malaysia.

"Waktu mereka balik raya lagi ramai sebab mereka selalu bawa balik orang-orang baru untuk bekerja dalam Malaysia pula.

"Masa tu keadaan trafik lebih sesak dan permintaan kepada perkhidmatan pengangkutan lebih tinggi."