- Iklan -
Berita

Cuepacs bidas tindakan menteri di KLIA

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam berkata ‘ia jelas melanggar prosedur keselamatan atau SOP yang telah ditetapkan’.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang diterbitkan portal berita BebasNews dalam laporannya mengenai pencerobohan menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Gambar yang diterbitkan portal berita BebasNews dalam laporannya mengenai pencerobohan menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kesatuan perkhidmatan awam terbesar menggesa siasatan dijalankan terhadap laporan seorang menteri menyerbu masuk ke balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membela seorang pengembara asing yang berdepan masalah dengan pegawai imigresen. 

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), berkata tindakan itu bukan sahaja campur tangan terhadap protokol keselamatan negara tetapi juga gangguan terhadap penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.

“Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur keselamatan atau SOP yang telah ditetapkan. 

“Sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri terbabit boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat yang lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang,” kata Presiden Cuepacs Adnan Mat mengulas insiden yang menimbulkan persoalan mengenai identiti menteri itu.

Ia susulan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden yang dilaporkan oleh portal BebasNews.

"Saya rasa pihak berkuasa lapangan terbang akan menjalankan siasatan yang lebih terperinci mengenai apa yang berlaku," katanya.

BebasNews, yang tidak menamakan menteri itu, berkata beliau menceroboh balai ketibaan di KLIA apabila mengetahui seorang wanita warga China dilarang memasuki negara ini.

"Bila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan wanita warga China itu yang ditahan memasuki negara semasa tiba semalam," kata laporan itu, yang disertakan dengan gambar kabur menteri dan warga asing semasa kejadian.

Menurut laporan itu lagi, ia adalah campur tangan ketiga oleh menteri di lapangan terbang itu. 

Cuepacs menggesa supaya siasatan dijalankan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya perlanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

“Cuepacs tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu,” tambahnya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut.

"Sehubungan dengan itu, jabatan ini memohon supaya orang ramai memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan," menurut jabatan berkenaan dalam satu kenyataan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.