- Iklan -
Berita

EAIC tidak lagi terima aduan berhubung polis, pegawai bermula 1 Julai

Ia selaras dengan berkuatkuasanya Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 [Akta 839] (IPCC) esok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis pasukan unit K9 membawa anjing pengesan ketika acara perbarisan sewaktu menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 di Dataran Merdeka.
Anggota polis pasukan unit K9 membawa anjing pengesan ketika acara perbarisan sewaktu menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 di Dataran Merdeka.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak lagi akan menerima aduan terhadap polis atau pegawainya bermula esok (1 Julai).

Menurut Suruhanjaya berkenaan, ini kerana polis tidak lagi disenaraikan di bawah Jadual Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] sebagai salah satu agensi penguatkuasaan seliaannya, selaras dengan berkuatkuasanya Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 [Akta 839] (IPCC) esok.

"EAIC akan menyelesaikan semua aduan dan siasatan yang diterima sebelum 1 Julai 2023 dalam tempoh setahun sehingga 1 Julai 2024 selaras dengan seksyen 47 Akta 839," kata EAIC dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan atau aduan oleh orang ramai terhadap PDRM mulai 1 Julai 2023 boleh disalurkan dengan menghubungi Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri di talian 03-8886 8526 atau 03-8886 8529.

EAIC berkata ia terus komited dengan visi sebagai peneraju dalam penguatkuasaan, transformasi dan pembudayaan integriti berteraskan profesionalisme dan amalan terbaik.

Orang ramai boleh layari www.eaic.gov.my untuk sebarang maklumat atau info lanjut berkaitan EAIC.