- Iklan -
Berita

Anwar PM atau selebriti?

Perdebatan berterusan mengenai pendekatan 'mesra rakyat' beliau kepada orang ramai di tengah-tengah kesan daripada gurauan yang salah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman bersama para jemaah selepas menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Putra, 29 Jun. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman bersama para jemaah selepas menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Putra, 29 Jun. Gambar: Bernama

Media sosial terus membahaskan tindakan dan perbuatan Anwar Ibrahim dalam menjalankan rutin hariannya sebagai perdana menteri sejak menjawat jawatan itu pada November tahun lalu.

Beliau sering kali dilihat menyanyi di atas pentas, berjoget dengan tetamu yang hadir, menyapa orang di kedai makan dan melawat universiti-universiti tempatan untuk berdialog dengan mahasiswa.

Ramai pengguna maya menyifatkan Anwar sedang menggambarkan dirinya sebagai perdana menteri yang mesra rakyat, ramah dan “sempoi”.

Satu pihak yang lain pula melihat gerak geri Anwar sebagai tidak sopan dan jauh daripada standard perdana menteri sebelum ini.

Tambahan lagi ketika rakyat bergelut dengan harga barang keperluan yang meningkat disebabkan inflasi dan kejatuhan nilai ringgit.

"Bila dah pakai baju Melayu sepatutnya beradab sopan santun dan tunjukkan peribadi orang Melayu.

"Bukan angkat jari tunjuk langit," tulis pengguna Facebook Muhammad Ikhwan Alias.

Ada juga yang menyelar Anwar supaya bijak membezakan kedudukannya sebagai pemimpin negara dan bukan lagi sekadar presiden parti politik.

Sehingga kini, kedua-dua belah pihak saling berhujah mengenai perilaku Anwar terutamanya apabila beliau menghadiri majlis rasmi kerajaan.

Bekas pengarang kanan Utusan Malaysia Zin Mahmud memberitahu apa yang dimaksudkan dengan mesra rakyat dan “sempoi” adalah pemimpin yang turun ke lapangan untuk selesaikan masalah rakyat.

"Bukannya menyanyi, menari atau berseloroh.

"Tetapi kalau perdana menteri suka bergelagat seperti 'selebriti', itu terpulang kepada dia," katanya kepada MalaysiaNow.

Terbaru, sesi dialog Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Negeri Sembilan mencetuskan kontroversi apabila beliau bertindak mengeluarkan kenyataan yang dianggap sensitif.

Ketika itu, Anwar pada mulanya memuji kepetahan pelajar tersebut bercakap dan mengemukakan soalan dengan kemas.

“Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon dah," katanya.

Meskipun Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mempertahankan kenyataan itu mengatakan jawapan Anwar disalah tafsir.

Namun, pemimpin pembangkang terus berhujah menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak wajar dan bernada seksis.

Antaranya Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata Anwar patut membuat permohonan maaf secara terbuka.

Mengulas lanjut, Zin menegaskan seseorang perdana menteri mencerminkan pemimpin negara pada zamannya.

Katanya, reputasi seseorang perdana menteri berubah mengikut zaman.

"Perdana menteri dahulu pun ada masalah mereka masing-masing.

"Ada kebaikan dan keburukan, dan saya pun tidak mahu membanding-bandingkan kerana ia tidak adil bagi mereka," katanya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.