Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap parti politik yang menyentuh isu 3R iaitu bangsa, agama serta institusi diraja sepanjang perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu .
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata oleh itu, parti politik yang bertanding diingatkan supaya tidak memainkan isu sensitif sepanjang tempoh berkempen khususnya berkaitan 3R.
Beliau berkata ini bagi mengelakkan wujudnya kegusaran dan mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat sepanjang proses PRN itu nanti.
"Kita nampak apabila isu 3R dimainkan maka akan berlaku perpecahan dan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat, lagipun saya percaya semua yang bertanding merupakan orang-orang lama (dalam politik).
"Jadi kita mahu PRN kali ini berlangsung dalam keadaan sangat aman dan tidak berlaku ketidakharmonian dalam perjalanan PRN, pengundi juga boleh keluar mengundi dan memilih calon mereka (dengan selamat)," katanya kepada pemberita di Georgetown malam tadi.
Razarudin berkata demikian selepas meninjau persiapan bagi menghadapi PRN oleh Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri yang turut dihadiri Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin.
Beliau berkata parti politik yang bertanding juga diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada khususnya yang berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Akta Hasutan.
"Kita sendiri ada pegawai perakam dan pegawai zon yang memantau perjalanan kempen sepanjang PRN, mereka berperanan merekodkan serta memantau semua ceramah, jika ada yang didapati menyentuh isu 3R, siasatan akan terus dijalankan sama ada oleh Bukit Aman atau kontinjen negeri itu sendiri," katanya.
Razarudin juga berkata seramai 40,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang proses PRN di enam negeri terbabit.
Beliau berkata Kontinjen Pulau Pinang juga akan menerima bantuan serta sokongan 663 anggota dan pegawai polis sepanjang PRN iaitu dari Bukit Aman selain anggota dari negeri yang tidak terlibat dengan pilihan raya itu.
"Saya juga berpuas hati dengan taklimat persediaan PRN yang diberikan di peringkat Kontinjen Pulau Pinang dan apa yang telah disyorkan, dicadangkan dan dimohon dari segi bantuan keanggotaan oleh Ketua Polis Pulau Pinang juga sangat ideal, tidak terlampau lebih atau ada kekurangan yang boleh menjejaskan perjalanan PRN," katanya.
Razarudin berkata selain itu, beliau akan melakukan lawatan bagi melihat persiapan PRN di Kelantan dan Terengganu selepas berbuat demikian di Kedah, Selangor serta Negeri Sembilan dan mendapati semuanya berjalan lancar.
Beliau berkata pihaknya menasihati parti politik yang bertanding agar memohon permit ceramah lebih awal bagi memudahkan urusan kelulusan.
''Polis memang melayan setiap permohonan untuk mendapatkan permit dalam tempoh 24 jam namun kita mohon parti politik melakukannya lebih awal untuk mengelak berlakunya pertembungan dengan parti lain di satu-satu kawasan ketika mereka berceramah,'' katanya.
PRN dijangka diadakan serentak di keenam-enam negeri selepas Dewan Undangan Negeri masing-masing dibubarkan bulan lepas.