- Iklan -
Berita

Azmin persoal dakwaan Amirudin berhubung peningkatan pelaburan di Selangor

Bekas menteri besar itu juga berkata tiada gunanya sesebuah negeri menyimpan lebih banyak rizab jika tidak digunakan untuk pembangunan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada MalaysiaNow dalam satu wawancara di Bangsar.
Bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada MalaysiaNow dalam satu wawancara di Bangsar.

Bekas menteri besar Mohamed Azmin Ali mencabar dakwaan penggantinya mengenai pembangunan ekonomi Selangor, sambil berkata negeri itu kini berada di tempat ketiga di belakang Wilayah Persekutuan dan Johor dari segi pelaburan setakat suku pertama 2023. 

Beliau turut mempersoalkan dakwaan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang lebih berjaya daripadanya dalam membawa masuk pelabur. 

Azmin, yang menerajui kerajaan negeri dari 2014 hingga 2018, berkata perbandingan yang dibuat oleh Amirudin adalah meleset.

Ini kerana katanya, jumlah pelaburan yang dibawa ke Selangor tidak boleh dibandingkan dengan yang dibawa ketika Selangor masih dianggap sebagai "negeri pembangkang". 

Beliau merujuk kepada pelaburan RM25 bilion di Selangor oleh syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) Amazon Web Services (AWS), yang diumumkannya ketika mengetuai delegasi Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa ke AS pada Mei 2022.

"Dia nak dakwa itu usaha dia?” soal Azmin ketika sesi wawancara dengan MalaysiaNow baru-baru ini.

“AWS ketika itu melihat kemungkinan untuk melabur ke Melaka, tetapi saya berikan hujah-hujah dan saya rasa AWS wajar diletakkan di Selangor."

Selangor sentiasa menjadi negeri paling maju di Malaysia selama beberapa dekad sejak era Barisan Nasional, apabila ekonomi negara menjurus ke arah menarik gergasi perindustrian dunia untuk menubuhkan pangkalan. 

Azmin dilantik semula sebagai menteri besar pada 2018 tetapi mengosongkan kerusinya selepas dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi oleh Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Susulan itu, PKR mencalonkan Adun Ijok Dr Idris Ahmad sebagai menteri besar, namun Sultan Selangor akhirnya memilih calon yang dicadangkan Azmin.

Mengimbas kembali keputusannya ketika itu, Azmin berkata beliau mungkin tersilap memilih Amirudin sebagai penggantinya.

"Mungkin saya tersilap pilih ketika itu, tetapi asasnya saya memikirkan Selangor memerlukan menteri besar yang muda dan progresif yang mampu meneruskan dasar-dasar yang telah berjaya sebelum ini. 

"Malangnya andaian saya silap. Kegagalan beliau untuk meneruskan agenda kepedulian rakyat.

“Prestasi ekonomi Selangor semakin buruk,” katanya.

Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor pada 2014, selepas kekosongan berikutan penyingkiran Khalid Ibrahim. 

Khalid dipecat oleh PKR sebagai sebahagian daripada episod Langkah Kajang, rancangan yang bertujuan untuk meletakkan isteri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

Pemecatan itu membawa kepada perpecahan antara DAP dan PAS, dan gabungan itu akhirnya berpecah sebelum kembali membentuk PH. 

PH ketika itu terdiri daripada PKR, DAP, dan Amanah, parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti. 

Azmin kekal sebagai menteri besar Selangor sehingga 2018, apabila beliau dilantik menganggotai Kabinet PH yang pertama. 

'Dasar mesra rakyat berakhir'

Sementara itu, Azmin berkata banyak dasar yang diperkenalkannya sebagai menteri besar telah dihentikan oleh Amirudin. 

Ini termasuk Skim Mesra Usia Emas untuk warga emas, di mana kerajaan negeri memberikan sehingga RM2,500 kepada keluarga yang mengalami kematian ahli keluarga. 

Ia kemudiannya dirombak untuk menyediakan bayaran kurang RM500.

Azmin turut mempersoalkan langkah menghentikan dasar membekalkan 20 meter padu air percuma kepada semua isi rumah di Selangor.

“Hari ini atas nama penjajaran semula, Amirudin kononnya berikan kepada golongan B40. Tetapi beliau lupa, akibat pandemik golongan M40 pun sudah jadi B40,” katanya.

Azmin juga mengambil tindakan terhadap hujah berterusan penyokong PH bahawa rizab negeri telah meningkat di bawah Amirudin.

"Apa makna rizab besar yang digembar-gemburkan? Saya guna rizab untuk perbelanjaan pembangunan. Bukan kerja kerajaan untuk simpan rizab.”

Azmin juga berkata kepimpinan adalah faktor penting dalam menentukan prestasi mana-mana kerajaan negeri, tanpa mengira parti.

"Sekarang Amirudin masih dalam PKR dan PH, tetapi reputasi tidak seperti saya ketika saya berada dalam PH. 

“Ia bukan soal gabungan atau parti. Ia soal bagaimana menteri besar dapat mengemukakan satu kebijakan ekonomi.

"Sama ada rakyat ingin kreditkan kepada PH atau saya, itu saya serahkan kepada rakyat Selangor,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.