Seorang pemimpin DAP Sarawak mempersoalkan rancangan kerajaan negeri untuk membina kediaman rasmi baru bagi Yang di-Pertua Negeri.
Ini sekali gus menunjukkan parti itu masih bertelagah dengan GPS yang memerintah negeri itu meskipun mereka bekerjasama di peringkat Persekutuan.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata kerajaan negeri mesti "telus sepenuhnya" dengan rancangannya untuk membina Astana Negeri baru, yang akan dibina berhampiran bangunan semasa yang dibina pada 1870.
Beliau menggesa kerajaan negeri mendedahkan kos projek serta syarikat yang dianugerahkan bidaan projek itu, dan sama ada ia dilakukan melalui tender terbuka.
“Selain daripada itu, kerajaan harus mendedahkan perbandingan memperbaiki dan menaik taraf Astana sedia ada yang pada pandangan saya membawa sejarah dan legasi yang harus dipertahankan sebagai tempat kediaman rasmi Ketua Wilayah Sarawak,” kata Yii yang juga ketua Pemuda DAP.
Semalam, Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Astana Negeri sedia ada sudah tidak sesuai digunakan dan akan dijadikan muzium Yang di-Pertua Negeri.
Astana Negeri dijadikan sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertua Sarawak sejak 1870, selepas ia dibina oleh Rajah kedua Sarawak, Charles Brooke.
Yii bertanya sama ada ia akan lebih menjimatkan kos untuk membaiki dan menaik taraf bangunan Astana sedia ada, sambil menggesa bangunan itu dikekalkan sebagai kediaman rasmi ketua menteri Sarawak dalam usaha untuk "memelihara warisannya".
“Jika kerajaan negeri boleh telus dan memberi justifikasi terbaik untuk keperluan projek terbabit, saya percaya rakyat Sarawak akan menyokong pelaksanaan projek berkenaan kerana baik untuk negeri.
“Jika tidak saya percaya terdapat keperluan dan keutamaan lain di Sarawak yang perlu diberi perhatian khususnya kemudahan infrastruktur awam,” tambahnya.
“Sekalipun kita mempunyai lebihan hasil atau sumber, ini bukan alasan bagi kita untuk membelanjakan dana berkenaan dengan sesuka hati untuk mengelakkan kesan ekonomi jangka panjang kepada semua rakyat Sarawak.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.