- Iklan -
Berita

Mahathir, Muhyiddin setuju kukuhkan PN menjelang PRN

Kedua-dua bekas perdana menteri itu bertemu malam tadi sebagai tanda perdamaian selepas bertengkar pada 2020.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kiri) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di kediamannya semalam. Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kiri) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di kediamannya semalam. Gambar: Facebook

Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bertemu semalam dengan kedua-dua pemimpin berkenaan mencapai persefahaman dalam beberapa isu.

Ini sekali gus menunjukkan kedua-dua bekas perdana menteri itu berdamai sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020. 

Muhyiddin dalam satu kenyataan, berkata beliau mengadakan perbincangan "panjang" yang berlangsung dalam suasana "saling menghormati" dengan Mahathir dalam banyak isu terutamanya mengenai masa depan orang Melayu, topik yang menjadi tumpuan bekas perdana menteri itu sejak kebelakangan ini.

Muhyiddin bagaimanapun berkata tiada perbincangan khusus mengenai Proklamasi Melayu yang dibawa Mahathir, dokumen yang dikeluarkannya baru-baru ini di mana beliau berkata hak Melayu semalin berkurangan selama ini dan mesti dipulihkan melalui perpaduan politik kaum tersebut.

"Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi."

Pada 2016, Mahathir berganding bahu dengan Muhyiddin untuk membentuk Bersatu, selepas beliau dipecat daripada Umno kerana mengkritik penglibatan perdana menteri ketika itu Najib Razak dalam skandal 1MDB. 

Parti berasaskan Melayu itu kemudiannya bekerjasama dengan PH, dan pada 2018 menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Tidak lama selepas itu timbul perbezaan antara Bersatu dan rakan PH lain berikutan desakan untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, selaras dengan perjanjian pemimpin PKR itu akan mengambil alih jawatan tertinggi pada pertengahan penggal. 

Mahathir meletak jawatan apabila perpecahan semakin meluas, menyebabkan kejatuhan kerajaan PH selama 22 bulan. 

Sementara itu, Bersatu dan beberapa ahli Parlimen PKR membentuk gabungan dengan BN dan GPS Sarawak, dengan Muhyiddin dinamakan sebagai perdana menteri.

Tindakan itu mendapat bantahan daripada Mahathir, yang kemudiannya dipecat daripada Bersatu.

Muhyiddin sendiri meletak jawatan kira-kira 17 bulan kemudian, berikutan beberapa siri pembelotan ahli Parlimen Umno dalam langkah yang direka oleh Najib dan Ahmad Zahid Hamidi.