- Iklan -
Berita

BNM kekal OPR pada 3%

Bank pusat itu berkata pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melepasi pintu masuk Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, 31 Julai 2019. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan melepasi pintu masuk Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, 31 Julai 2019. Gambar: Reuters

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3%.

Bank Negara (BNM) dalam satu kenyataan berkata pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

“MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” tambahnya. 

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.”

Pada 3 Mei lalu, BNM menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan 2.75% pada Januari dan Mac.

Kadar OPR pernah diturunkan pada paras terendah kepada 1.75% selepas bermulanya Covid-19 di Malaysia pada awal 2020.

Mengulas lanjut, BNM berkata pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat, dengan prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Ini terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

“Susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini. 

“Keadaan ini berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka,” katanya. 

BNM berkata, pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya pada tahun 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. 

Katanya, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.

Sementara itu, menurut bank pusat itu ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Bagaimanapun, katanya pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi. 

“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini.

“Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini.

Selain itu BNM berkata ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan.

“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan,” tambahnya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.