- Iklan -
Berita

Kerajaan akan umum langkah lindungi pesara, kata PM

Sementara itu Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka dengan cadangan KWSP untuk menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperhalusi langkah terbaik untuk melindungi pesara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan kini memperincikan mekanisme itu dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

“Kita akan mengusahakannya. Kita perlu hormati keputusan Mahkamah Persekutuan. Kita mempunyai mekanisme untuk melindungi pesara dan akan mengumumkannya tidak lama lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 27 Jun, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenalkan skim pencen baharu yang melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.

Keputusan itu bermakna undang-undang mengandungi skim pelarasan pencen lama akan digunakan.