Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka dengan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan yang sebelum ini secara sukarela kepada mandatori apabila mencecah usia persaraan 55 tahun.
Perdana menteri berkata, cadangan tersebut ketika ini berada di peringkat akhir.
Bagaimanapun, katanya ia perlu mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan yang terlalu kecil dalam kalangan pencarum.
“(Cadangan pengeluaran mandatori) itu masih di peringkat akhir. Saya tiada keberatan (dengan cadangan tersebut).
“(Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) Amir Hamzah Azizan kata ada beberapa kekangan terutama dalam kalangan ahli yang jumlahnya (simpanan) sikit,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan versi baru aplikasi i-Akaun KWSP pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa ke-10 2023 (ISWC 2023) di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Amir dilaporkan berkata pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahli untuk menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Beliau berkata pengeluaran berkala atau secara bulanan itu juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.