- Iklan -
Berita

MCA, MIC tidak bertanding pada PRN bulan depan

Menurut kedua-dua parti itu mereka akan melaksanakan peranan mereka sebagai parti komponen Barisan Nasional dalam membantu calon parti lain.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan sekumpulan sukarelawan Barisan Nasional dilihat memasang bendera parti itu di Taman Stulang Laut untuk pilihan raya negeri yang berlangsung pada 12 Mac tahun lalu.
Gambar fail menunjukkan sekumpulan sukarelawan Barisan Nasional dilihat memasang bendera parti itu di Taman Stulang Laut untuk pilihan raya negeri yang berlangsung pada 12 Mac tahun lalu.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA dan MIC mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bulan depan.

Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon dalam kenyataan hari ini berkata dalam tempoh ini, MCA sebaliknya akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

"Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA hari ini selepas perbincangan, analisis serta mengambil kira situasi politik semasa," katanya.

Beliau berkata MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam membantu calon-calon parti komponen BN pada PRN itu.

Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

“Keputusan parti MIC untuk tidak bertanding pada PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti MIC. Pada masa ini, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses untuk membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” katanya.

Bagaimanapun, parti kaum India itu berjanji akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dan keputusan parti telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi