- Iklan -
Berita

Kerajaan tiada pelan konkrit isu keterjaminan makanan, kata pakar

Penganalisis Ekonomi, Politik dan Hubungan Antarabangsa Herizal Hazri berkata, situasi itu seterusnya mengakibatkan kenaikan harga barangan di pasaran.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pelanggan memilih sotong dan udang di Pasar Datuk Keramat, 16 April.
Beberapa pelanggan memilih sotong dan udang di Pasar Datuk Keramat, 16 April.

Kerajaan dilihat masih tiada mempunyai pelan konkrit berhubung isu keterjaminan makanan, meskipun kepimpinan negara sudah membincangkan perkara itu lebih 10 tahun lepas, kata pakar.

Penganalisis Ekonomi, Politik dan Hubungan Antarabangsa Herizal Hazri berkata, ini menyebabkan kerisauan berhubung pergerakan mata wang negara kerana Malaysia masih mengimport lebih separuh bahan makanan dari negara luar.

"Ini masalah besar. Saya telah buat banyak kajian dan membentangkan kepada kerajaan-kerajaan sebelum ini betapa bahaya jika kita mengawal kebergantungan makanan kita di peringkat antarabangsa.

"Banyak kajian telah menunjukkan tidak ada ekonomi yang berasal dari pertanian berjaya mencapai berpendapatan tinggi tanpa memodenkan pertanian mereka," katanya dalam bicara Dialog Tiga Penjuru oleh Astro Awani malam tadi, yang membincangkan masalah kejatuhan nilai wang ringgit. 

Beliau yang merupakan bekas ketua eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) berkata, situasi itu seterusnya mengakibatkan kenaikan harga barangan di pasaran.  

Nilai ringgit menjadi perbualan ramai apabila ia semakin menyusut sejak beberapa bulan lepas, akibat daripada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan di Amerika Syarikat.

Susulan itu, Bank Negara (BNM) turut sebelum ini menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) bagi mengekang inflasi dan mengawal kejatuhan ringgit. 

Bekalan asas menjadi isu selepas pandemik Covid-19 apabila rantaian bekalan terganggu akibat peperangan antara Ukraine dan Rusia, yang mana kedua-dua negara itu merupakan antara pengeluar gandum terbesar dunia. 

Harga ayam dan telur antara yang naik di Malaysia kerana bekalan dedak dan ubat ternakan unggas meningkat. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dipertanggungjawabkan untuk menguruskan masalah bekalan makanan sejak pembentukan kerajaan perpaduan.

Antara keputusan yang dicapai ialah membuka pasaran Malaysia kepada import telur dari India.

Nilai import makanan Malaysia naik kepada RM75 bilion bagi tahun lepas dan dijangka mencecah RM100 bilion pada tahun 2025. 

Sementara Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia, Noor Azlan Ghazali berkata, kebergantungan terhadap import makanan bukanlah satu isu yang baru dibincangkan.

"Kalau kita lihat dokumen pembangunan, semuanya menyebut perkara sama. Namun perhatian kita terhadap masalah-masalah ini hanya muncul sekali-sekala," katanya. 

Menurut Azlan, perihal ekonomi tidak boleh dikaitkan dengan kepimpinan yang sedia ada semata-mata, susulan permasalahannya sudah wujud sejak sekian lama. 

Herizal menambah, perbincangan mengenai mata wang sering kali dikaitkan dengan kelemahan satu-satu kerajaan dan tidak kepada masalah struktur.

"Kita tidak pernah menangani masalah-masalah yang memungkinkan ekonomi terkesan jika mata wang kita jatuh." 

Dalam pada itu, bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata, dasar pertanian tidak diubah suai untuk memberi hala tuju yang lebih baik kepada pemain industri.

"Projek kerajaan hanya kekal sebagai projek di sesetengah tempat dan tiada impak ekonomi jangka masa panjang yang lestari."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.