- Iklan -
Berita

Anwar berbohong dalam isu hutang Felda, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu menafikan dakwaan Anwar Ibrahim yang menuduhnya tidak melaksanakan pelupusan hutang Felda.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, 24 Jun.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, 24 Jun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan Anwar Ibrahim tidak layak dikekalkan sebagai perdana menteri kerana "berbohong besar” dalam isu hutang peneroka Felda.

Muhyiddin dalam kenyataan di Facebook menafikan dakwaan Anwar yang menuduhnya tidak melaksanakan pelupusan hutang Felda ketika menjadi perdana menteri.

Katanya, perkara itu sudah pun disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana menyatakan pelupusan hutang peneroka Felda sudah dilaksanakan pada 2021.

"Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH (Pakatan Harapan)-BN (Barisan Nasional) tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan.

"Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji.

"Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan beliau timbul susulan pengumuman Anwar pada Sambutan Hari Peneroka 2023 pada Jumaat yang menyebut kerajaan campuran bertindak memansuhkan hutang peneroka itu kerana memahami apa yang dihadapi oleh peneroka dan mengangkat semula darjat Felda.

Dengan itu, kata Anwar, kerajaan akan meneruskan dana pembiayaan sukuk Felda yang tertangguh sebelum ini dengan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun untuk 10 tahun akan datang kepada Felda.

Ketika menjadi perdana menteri ke-8, Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.

Ini terutama bagi peneroka generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah itu dijayakan.

Muhyiddin juga menafikan dakwaan Anwar dengan mengatakan bekas pengerusi Felda, Idris Jusoh sendiri pernah tampil membuat kenyataan pada Februari lalu dengan menegaskan pelupusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion sudah pun selesai.

Atas sebab itu, kata Muhyiddin, pembohongan yang terbaharu berkait peneroka Felda ini membuktikan bahawa semakin jelas Anwar bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi perdana menteri.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.