Pakcik Sudin mengimbas kembali perkhidmatannya sebagai pegawai kanan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) sebuah agensi kerajaan yang menjaga laluan keluar dan masuk sempadan Malaysia daripada sebarang aktiviti haram serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Beliau pernah menjaga kawalan di pintu masuk di Perlis, Kelantan dan dihantar bertugas ke Thailand beberapa tahun sebelum bersara wajib ketika berusia 60 tahun pada 2019 lalu.
Sepanjang tempoh perkhidmatan lebih 30 tahun, Sudin berdepan dengan pelbagai ragam dan masalah harian terutamanya menguruskan pegawai dan anggota bawahannya dalam memastikan mereka sentiasa bertanggungjawab menjalankan tugas masing-masing.
Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau pernah mengarahkan seorang pegawainya ditukar ke tempat kerja baru dalam tempoh 24 jam kerana disiasat akibat amalan rasuah.
Beliau juga pernah hadir sebagai saksi di mahkamah di Perlis bagi memberi keterangan mengenai amalan rasuah salah seorang anggotanya melibatkan kes penyeludupan bahan terlarang di sempadan negara.
"Semuanya saya beri kerjasama dengan baik. Tetapi, reputasi dan air muka pasukan perlu dijaga.
"Anggota saya yang terlibat masalah mungkin seorang dua sahaja tapi seluruh pasukan saya tak boleh dipanggil sebagai pasukan korup.
"Itu tidak betul kerana mereka yang lain jujur dalam menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.
Baru-baru ini, Sudin meninggalkan komen pada satu hantaran media sosial oleh portal berita tempatan yang melaporkan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang mendakwa terdapat amalan rasuah di pintu masuk negara.
Ini susulan insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tular beberapa hari lalu kerana dilaporkan membuat kekecohan melibatkan penahanan pelancong warga asing oleh pegawai imigresen.
Bagaimanapun, kata Sudin, kenyataan tersebut sangat tidak bertanggungjawab oleh seorang menteri kerana memberi gambaran bahawa semua penjawat awam adalah perasuah.
Kini, Aksem dibubarkan dan skop tugas kawalan sempadan diambil sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa pada tahun 2021.
Adakah undi penjawat awam akan terjejas?
Kenyataan Tiong kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial dengan ramai pihak yang menyelarnya seperti mencari masalah dengan penjawat awam.
Keadaan itu pula dikhuatiri akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan campuran memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos depan turut bergantung kepada unit penjawat awam.
Dalam pada itu, penganalisis politik veteran Ahmad Atory Hussain menegaskan isu rasuah dalam kalangan penjawat awam sudah diketahui oleh umum sejak sekian lama.
Bahkan, cakap-cakap mengenai hal itu sudah pun bermula sewaktu pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu lagi.
"Kekecohan itu sememangnya memburukkan lagi imej kerajaan pada pandangan umum.
"Sebab itu PM akan berhati-hati bila nak keluar kenyataan mengenai hal ini sebab tak nak jejaskan imej kerajaan atau pihak imigresen," katanya kepada MalaysiaNow merujuk lawatan mengejut ke KLIA tanpa diiringi menteri Kabinet atau orang kenamaan kira-kira 30 minit selepas insiden tersebut.
"Lagipun isu ini yang tentukan siapa salah atau betul ialah mahkamah."
Dalam pada itu, Atory turut menyentuh tentang keyakinan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan bahawa undi para tentera alan kembali berpihak kepada Barisan Nasional (BN), komponen dalam kerajaan campuran pada PRN kali ini.
Beliau dilaporkan berkata, PRN itu dilihat mempunyai undi tentera yang banyak dan akan memastikan calon BN yang bertanding di kawasan ramai tentera mendapat undi daripada pasukan keselamatan itu.
Menurut Atory, sudah menjadi perkara biasa untuk seorang menteri pertahanan mengumumkan anggota badan beruniform seperti tentera, polis dan lain-lain sebagai menyokong kerajaan.
"Kenyataan macam ini lebih kepada perang psikologi.
“Tak akan dia nak umum anggota uniform sokong pembangkang?"
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), undi para tentera dipercayai tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) selepas kenyataan pengerusinya, Anwar Ibrahim yang mendakwa pengundi dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibayar dengan sejumlah wang sebanyak RM300.
Sebelum itu, di PRN Melaka pada 2021 pula menyaksikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang disandang oleh BN tewas kepada Perikatan Nasional (PN).
Antara tudingan jari utama dalam kekalahan DUN tersebut adalah disebabkan oleh undi tentera.
DUN Sungai Udang mempunyai jumlah pengundi awal tentera dan polis antara tertinggi dalam PRN Melaka.
Seramai 9,574 pengundi awal termasuk sembilan anggota polis dan pasangan direkodkan di DUN Sungai Udang dari jumlah keseluruhan 22,793 pengundi.
"Sebelum ini kita lihat undi oleh badan beruniform pun macam berubah, sebab kita lihat kerajaan terdahulu sudah tumbang.
"Cuma persoalan yang perlu dijawab ialah, dari mana Mohamad Hasan dapat data menyatakan tentera akan undi BN-PH?
"Rasanya tiada kajian yang menyatakan perkara ini," katanya.
Menurut Atory, kenyataan yang dibuat oleh Mohamad pada Perhimpunan Agung Umno pada Januari lalu hanya untuk menambah baik persepsi umum terhadap kerajaan semasa.