- Iklan -
Berita

2 cucu peneroka Felda tanpa kerakyatan rayu KDN ambil perhatian

Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen memohon kewarganegaraan enam tahun lalu tetapi masih belum menerima apa-apa jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Dua beradik tanpa kerakyatan, Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen dilihat menonton televisyen di rumah mereka di Felda LBJ di Nilai, 26 Jun.
Dua beradik tanpa kerakyatan, Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen dilihat menonton televisyen di rumah mereka di Felda LBJ di Nilai, 26 Jun.

Dua beradik hanya mampu menunggu dan berharap untuk mendapatkan kerakyatan apabila permohonan yang dibuat keluarga mereka sejak 2017 masih “dalam proses”.

Wong Hao Xuan yang berusia 9 tahun manakala adiknya, Wong Hao Chen berusia 8 tahun merupakan generasi keempat yang menetap di Kampung Felda LBJ di Seremban, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak menerima kerakyatan apabila perkahwinan ibu bapa mereka hanya didaftarkan pada Mei 2017, tiga tahun selepas kelahiran Hao Xuan.

Menceritakan kisah keluarga itu kepada MalaysiaNow, bapa kanak-kanak tersebut, Wong Choo Kian berkata, pertama kali mereka cuba memohon kerakyatan untuk anak-anaknya itu dibuat pada November 2017.

Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen bersama bapa mereka, Wong Choo Kian.
Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen bersama bapa mereka, Wong Choo Kian.

Bagaimanapun, setiap kali mereka menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk bertanyakan status permohonan itu, keluarga itu hanya dimaklumkan ia masih dalam proses.

Situasi keluarga itu bertambah buruk pada Mac 2018 apabila Choo Kian terpaksa berhenti bekerja sebagai seorang jurujual selepas terkena strok.

“Saya bernasib baik kerana rumah ini adalah milik datuk dan saya menetap di sini bersama ibu bapa dan keluarga adik,” katanya.

“Disebabkan saya hilang punca pendapatan, adik saya, Wong Tsai Mei yang tanggung segala perbelanjaan keluarga termasuk membayar kos pendidikan anak-anak saya.”

Menurut Choo Kian, keluarga itu juga berdepan detik kesedihan pada awal tahun lalu apabila ibu kepada dua beradik tersebut “tiba-tiba” tidak pulang ke rumah sejak awal tahun lalu apabila berkata ingin keluar mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu dari semasa ke semasa akan menghubunginya untuk bertanyakan khabar kedua-dua anaknya.

Pingat dan sijil diperoleh oleh Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen.
Pingat dan sijil diperoleh oleh Wong Hao Xuan dan Wong Hao Chen.

Mengulas mengenai proses permohonan kerakyatan dua kanak-kanak itu, Tsai Mei berkata, kali terakhir mereka menerima surat daripada KDN adalah pada November lalu, namun dimaklumkan bahawa status permohonan itu masih tidak berubah.

Katanya, segala butiran yang diperlukan sudah dihantar kepada pihak KDN mengikut prosedur yang ditetapkan, namun hairan mengapa proses tersebut mengambil masa begitu lama.

Menurut Tsai Mei, dokumen yang dihantar termasuk surat perkahwinan dan surat beranak yang menyatakan status bukan warga negara.

“Sejak abang diserang strok, dia sudah tidak berupaya.

“Oleh itu saya yang selesaikan segala isu berkaitan kewangan seperti sekolah dan tuisyen,” katanya.

Wong Tsai Mei menceritakan kembali proses permohonan kewarganegaraan anak saudaranya.
Wong Tsai Mei menceritakan kembali proses permohonan kewarganegaraan anak saudaranya.

Menceritakan lanjut, Tsai Mei berkata, walaupun Hao Xuan dan Hao Chen berjaya dimasukkan ke sekolah, mereka berdua tetap berdepan pelbagai cabaran apabila tidak mendapat akses kepada kemudahan atau manfaat yang diterima pelajar lain.

Antara cabaran yang dua beradik itu hadapi ialah tidak menerima vaksin seperti suntikan BCG dan rawatan pergigian selain tidak dibenarkan membeli insurans untuk menanggung kos rawatan.

"Malah, mereka juga tidak aka mendapat segala bantuan yang diberikan kerajaan kepada kanak-kanak lain.

"Saya berharap pihak KDN akan teliti perkara ini kerana dua beradik kerana ini boleh memberi kesan kepada masa depan mereka," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.