- Iklan -
Berita

Bekas pekerja estet gesa kerajaan Perak tepati janji beri lot perumahan

Mereka mengatakan perjanjian itu dicapai pada 2008 dan sepatutnya dipenuhi pada 2011.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan seorang penoreh getah sedang bekerja di ladang. Gambar: Bernama
Gambar fail menunjukkan seorang penoreh getah sedang bekerja di ladang. Gambar: Bernama

Sekumpulan bekas pekerja estet di Sungai Siput, Perak menggesa kerajaan negeri menunaikan janji untuk pemberian lot perumahan sebagai pampasan kehilangan pekerjaan dan kediaman yang dialami lebih dua dekad lalu.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj berkata 34 pekerja, dari ladang Kamiri, sudah mencapai perjanjian pada 2008 dengan Guthrie, majikan mereka ketika itu, bagi mendapatkan satu lot perumahan sebagai sebahagian daripada pampasan. 

"34 pekerja itu akan membeli tujuh ekar tanah daripada Sime Darby dengan harga RM490,000 yang dibayar oleh NG0 yang akan mendapat tiga ekar tanah ini untuk membina kolej vokasional.

“Pekerja akan mendapat lot perumahan setiap seorang, secara percuma, pada baki empat ekar. 

“Ini sepatutnya berlaku pada 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebanyakan pekerja adalah penoreh getah generasi ketiga yang diberhentikan kerja selepas Guthrie, kini dikenali sebagai Sime Darby, memutuskan untuk membuka ladang kelapa sawit. 

Kes itu diperjuangkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan di mana majikan memenangi hak untuk mengusir pekerja pada 2009. 

Di bawah Peraturan-peraturan Faedah Pemberhentian 1980 Akta Pekerjaan, pekerja juga berhak mendapat pampasan tunai. 

Bagaimanapun, Jeyakumar berkata perjanjian dengan Sime Darby berubah apabila kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan tanah kerajaan kosong untuk lot perumahan itu. 

Menurut Jeyakumar, pekerja terbabit membantah cadangan itu, sebaliknya menggesa tanah negeri itu digunakan untuk menempatkan semula penduduk kampung setinggan di Sungai Siput.

"Kami berjumpa dengan menteri besar ketika kes mahkamah sedang berjalan dan memintanya empat ekar tanah untuk diberikan lot kepada kami. 

“Jawapannya ialah tiada tanah tersedia. Tidak mengapa jika anda tidak boleh membantu kami, tetapi mengapa anda sabotaj kami?" soal seorang bekas pekerja dipetik sebagai berkata. 

Jeyakumar yang juga bekas ahli Parlimen Sungai Siput, turut mendakwa sebahagian daripada jawatankuasa tanah daerah pada ketika itu "mencari untuk menjana kontrak perniagaan untuk kroni mereka". 

Individu tersebut, katanya, boleh menyalurkan perniagaan kepada kontraktor terpilih ketika itu.

Beliau menambah bahawa pekerja kini mengharapkan campur tangan pemimpin daripada kerajaan campuran.

"Ini bukan masalah terpencil," katanya.

"Kerajaan perpaduan sepatutnya melakukan langkah yang serius untuk menangani salah urus tadbir dalam program bantuan untuk golongan miskin di luar bandar."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.