- Iklan -
Berita

’Saya akan jadikan Mahathir tak relevan’, kata Anwar

Perdana menteri ditanya tentang pandangan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai masyarakat berbilang kaum.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam serangan terbarunya terhadap Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas bekas pemimpin itu sebagai terdesak berhubung pandangan baru-baru ini mengenai masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau berkata Mahathir cuba untuk menjadi relevan semula.

“Mantan PM itu (Dr Mahathir) telah kehilangan kerusi Parlimen di Langkawi. Saya rasa kita tidak perlu ambil serius mengenainya. Ia adalah cubaan terdesak beliau untuk mendapat perhatian, untuk dilihat relevan.

“Saya akan jadikan beliau tidak relevan, saya tidak akan memberikan sebarang komen mengenainya (kenyataan Dr Mahathir),” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Christopher Leong mengenai bantahan ramai terhadap kenyataan oleh bekas perdana menteri itu, yang menurutnya hilang pengaruh berikutan kegagalan besarnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

Mahathir, yang berusia 98 tahun hari ini, juga baru-baru ini mendakwa Perlembagaan tidak pernah mentakrifkan Malaysia sebagai negara berbilang kaum, mencetuskan reaksi keras daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Anwar berkata Perlembagaan Persekutuan itu "jelas mengenai kedudukan kaum Melayu, namun ia juga jelas dalam melindungi kebajikan seluruh rakyat dan masa depan seluruh rakyat negara ini, dan menjamin masa depan untuk semua".

Beliau turut menghalakan serangan terhadap "pemimpin korup" yang "menyalah guna kuasa dan memperkaya diri sendiri".

"Mereka ini jutawan, anak-anak mereka adalah jutawan.

“Jika benar kamu hendak bantu kaum Melayu, serahkan separuh daripada kekayaan kamu kepada kaum Melayu,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.