Selain bercerita tentang persiapan, pengalaman dan saat indah mewakili negara dalam sukan badminton, Lee Chong Wei juga pernah menyentuh hati hampir seluruh rakyat Malaysia hanya dengan satu hantaran di Facebook.
Ketika itu, negara sedang hangat dipolitikkan dengan isu tulisan khat dan beberapa isu lain sehingga mencetuskan ketegangan kaum dalam kalangan penyokong parti politik.
Tetapi, Lee tampil menzahirkan kekecewaannya pada sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 tahun 2019 mengatakan beliau sedih melihat kata-kata kesat yang semakin banyak dalam kalangan netizen hanya melibatkan isu remeh.
"Kami rakyat Malaysia lepak sekali, mamak sekali, menjaga satu sama lain tak kira kaum.
"Bersorak untuk negara kita Malaysia. Adakah kita akan menghentikan semua ini kerana satu suara rawak dari tempat yang kita tidak tahu?," tulisnya di Facebook pada tahun 2019 yang hingga kini mencapai lebih 300,000 sukaan dan ratusan ribu kongsian.
Di ruangan komen pula menjadi saksi elemen kesepakatan dan perpaduan yang harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia menyokong kenyataan tersebut.
Selepas beberapa tahun berlalu, kata-kata Lee masih meninggalkan kesan dalam hati rakyat Malaysia.
Bercakap mengenai hal itu, penganalisis politik Mazlan Ali berkata atlet sukan mempunyai pengaruh yang besar libat pelbagai aspek kehidupan termasuk isu politik.
Beliau yang kini mengajar sains politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberitahu para atlet bukan sahaja dilihat sebagai wakil Malaysia dalam sukan bahkan mereka diangkat sebagai wira-wira negara kerana mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Sebagai contoh, katanya, kemenangan Lee dalam sukan-sukan antarabangsa turut menyentuh emosi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang umur, agama dan kaum.
“Jadi apabila wira wati dan atlet-atlet ini mula bersuara membabitkan ahli politik dan sebagainya, rakyat sudah pasti memberi respons sebab kadang-kadang persepsi negatif terhadap ahli politik itu menyebabkan mereka cenderung memberi reaksi yang luar biasa,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ujarnya lagi, jika dibandingkan dengan ahli-ahli politik, rakyat kebanyakan melihat mereka sebagai puak yang suka berbohong.
Atas sebab itu, tidak menghairankan mengapa rakyat mudah memberi reaksi kepada atlet negara.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidik di O2 Research Malaysia Anis Anwar Suhaimi berkata para atlet sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang berat menyebabkan mereka dilihat jauh daripada politik.
Ini kerana, katanya, bidang sukan berperanan untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terbahagi akibat perbezaan politik.
Katanya lagi, disebabkan atlet juga berperanan membawa nama baik dan imej negara dalam pertandingan di peringkat rantau atau global maka keaktifan mereka dalam menyampaikan suara politik boleh mengundang rasa tidak senang masyarakat yang menuntut mereka untuk mengutamakan tanggungjawab hakiki berbanding berpolitik.
Bagaimanapun, kata Anis, prestasi sukan yang terkait dengan nama baik negara akan turut terlibat dengan sentimen politik kerana rakyat memberi perhatian kepada dasar sukan dari pentadbiran parti pemerintah semasa sama ada memberi kesan langsung atau tidak langsung.
“Dalam keadaan ini, atlet mempunyai ruang dalam bersuara dan mengkritik dasar sukan negara dan pendekatan yang diambil oleh menteri dan kementerian sukan dalam tempoh tersebut.
“Lebih-lebih lagi bagi atlet yang memiliki pencapaian cemerlang di peringkat dunia, dengan jumlah peminat sukan yang besar dari kalangan rakyat Malaysia, kritikan mereka tidak dinafikan akan memberi impak kepada pandangan awam berkaitan dengan prestasi menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan) khususnya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), menteri belia dan sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering menjadi tumpuan ramai apabila beberapa atlet menegur beliau berhubung beberapa perkara termasuk kebajikan, dasar dan keputusan kementerian yang tidak berpihak kepada para atlet.
Antara yang paling menjadi tumpuan sehingga mendapat liputan hangat oleh media apabila atlet lontar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin yang lantang menegur Syed Saddiq berhubung tindakan kementerian membubarkan Program Podium dan menamatkan serta merta kontrak jurulatihnya, Frank Petrovic.
Hantaran di media sosial Irfan kemudiannya mencetuskan perdebatan apabila kecaman dan kritikan bertali arus dilontarkan kepada KBS sekali gus meminta Syed Saddiq tampul dengan penjelasan kukuh atas tindakan itu.
Petrovis adalah jurulatih lempar cakera yang membimbing Muhammad Irfan sehingga berjaya mencipta nama pada Sukan Asia 2017 dengan memungut pingat perak.
Mengulas lanjut, Anis berpandangan kritikan dan suara oleh para atlet hanya terhad terhadap kepimpinan menteri di bawah kementerian yang menyelia sukan dan ianya tidak menjejaskan kerajaan secara keseluruhannya seperti yang berlaku terhadap KBS di bawah kepimpinan Syed Saddiq mahupun Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Namun, sekiranya atlet tersebut mendapat layanan yang tidak adil atau terpalit dengan isu yang melibatkan perkauman seperti yang terjadi kepada pemain hoki Negara, Hanis Nadiah Onn ataupun kenyataan rasis bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Bong Guang Yik, situasi itu sudah pasti memberi impak yang lebih besar kerana ianya melangkaui segmen sukan dan masyarakat akan menilai bagaimana menteri menangani isu-isu yang berlaku tanpa berlaku berat sebelah.
Pada Februari lalu, Hanis digantung daripada mewakili negara dalam mana-mana pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan SEA Kemboja selepas meninggalkan komen berbaur perkauman yang dikongsinya sendiri di laman Twitter mengenai konsert komposer dari India, AR Rahman.
Pada bulan yang sama, Guang Yik pula membuat kenyataan rasis mengatakan kaum Melayu hanya tahu makan dan solat lima kali sehari tanpa niat menguruskan BAM dengan baik. Beliau kemudiannya tampil dengan video permohonan maaf selepas menerima kecaman bertali arus oleh masyarakat.
Ketika ditanya, adakah bidang sukan mempunyai kaitan dengan politik, Mazlan tanpa ragu mengiakan persoalan itu.
“Jika kita lihat, satu perkara yang rakyat tak berapa suka adalah apabila ahli politik selalunya mengambil ‘mileage’ daripada sukan.”
Paling ketara, katanya, mereka cenderung untuk berebut jawatan-jawatan utama dalam pertatuan dan organisasi sukan.
“Mereka akan nampak, ahli-ahli politik ni nak berebut kuasa sahaja tetapi yang benar-benar fokus nak harumkan nama negara dan berjuang di medan perlawanan adalah atlet.”
Atas sebab itu, katanya, disebabkan elemen politik yang berlebihan dalam sukan menyebabkan rakyat timbul rasa kurang senang.
Bahkan, kadang kala, mereka turut menggunakan pentas sukan sebagai tempat untuk meraih dan mengumpul pengaruh masing-masing.
Bercerita lebih lanjut, Mazlan mengukuhkan kedudukan atlet sebagai golongan pempengaruh dalam menyatakan sesuatu pandangan mereka berkaitan pelbagai topik termasuk politik.
"Mereka ada keupayaan untuk meraih kepercayaan orang terutamanya penyokong atas pagar.
"Mereka ini lebih mempercayai atlet daripada ahli politik," katanya.