- Iklan -
Berita

Zafrul ‘terlalu teruja’ dengan laporan tidak tepat pelaburan RM500 bilion, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata keghairahan menteri mengulas laporan tidak tepat harus dipamerkan untuk menarik pelaburan asing ke negara ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar video ulasan Tengku Zafrul Aziz kepada laporan tidak tepat terhadap Dr Mahathir Mohamad.
Tangkap layar video ulasan Tengku Zafrul Aziz kepada laporan tidak tepat terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad mengkritik reaksi Tengku Zafrul Aziz yang disifatkannya “terlalu teruja” dengan laporan tidak tepat, mengatakan bahawa bekas perdana menteri itu bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 billion di Langkawi.

Sinar Harian, yang menyiarkan laporan itu, meminda berita tersebut selepas menyedari kesilapan berkenaan, membetulkan angka kepada RM500 juta.

Mahathir berkata beliau berharap Zafrul dapat mempamerkan semangat yang sama dalam menarik pelaburan ke negara ini.

“Jika sifat ‘over-excited’ Tengku Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi negara yang kelam dan muram ini dapat di atasi.

“Kalau setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan MoU berkait pelaburan tanpa keputusan yang muktamad tidak akan membangun ekonomi negara,” kata bekas negarawan itu dalam satu kenyataan.

Zafrul dalam video mengulas laporan Sinar Harian itu berkata, tidak pernah ada pelaburan bernilai RM500 bilion.

Dalam video yang diselangi tepukan itu, Zafrul menyindir: "Kalau betul ada satu pelabur sanggup labur sampai RM500 bilion di Langkawi sahaja, ini bakal menjadi rekod baru di Malaysia.

Beliau berkata kerajaan bersedia untuk mengalu-alukan pelabur sedemikian.

"Memang kita bentang karpet merah dari airport sampai ke hotel," tambahnya.

Mahathir mencabar Zafrul untuk memperincikan pelaburan yang disahkan ke dalam negara sejak beliau mengambil alih Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Ada orang yang tanya jika saya kenal siapa Tengku Zafrul.

“Saya bagi tau (beritahu) tak begitu kenal secara peribadi tetapi saya dengar cerita pasal dia menyanyi dalam kugiran sebelum pilihan raya ke-14 sokong kerajaan kleptokrasi,” tambahnya, merujuk kepada Pilihan Raya Umum pada 2018 yang dipimpinnya menggulingkan kerajaan Najib Razak. 

Namun begitu, Mahathir berkata beliau memutuskan untuk tidak menghukum Zafrul. 

Beliau seterusnya mengimbau bahawa sebagai menteri kewangan ketika di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin, Zafrul dikecam oleh Anwar Ibrahim sebagai “menteri yang jaga bank dan bukan jaga rakyat”.

Zafrul, yang sejak itu menyertai Umno dan bertanding di Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, dilantik semula sebagai senator oleh Anwar meskipun kalah, membolehkan beliau dilantik menganggotai Kabinet.

“Tapi dia tetap jadi menteri. Mungkin ada something special (sesuatu istimewa) yang kita tak nampak lagi,” sindir bekas pemimpin negara berusia 98 tahun itu.